Meluruskan Salah Faham Proses Pengundian


Seperti biasa, setelah tamat sahaja pilihanraya, maka pelbagai isu yang akan dibangkitkan terutamanya apabila melibatkan dengan proses pengundian. Sesetengah isu yang dibangkitkan itu mempunyai latar yang kukuh untuk diperdebatkan, ada sesetengah isu pula dibangkitkan sekadar untuk membentuk persepsi buruk hasil daripada salah faham dan kurang informasi yang tepat. Antara isu ulangan yang kerap kali didendangkan adalah penyelewangan pengiraan undi, cubaan melarikan kotak undi atau pun pertambahan kotak undi secara misteri. Isu ini dihangatkan dengan paparan gambar yang dimuat turun dilaman sosial dan kemudian pembawa gambar itu akan menjustifikasi paparan itu untuk membentuk persepsi kepada pembaca.

Perkara yang perlu diketahui oleh umum adalah, setiap pusat mengundi mempunyai beberapa saluran undi. Untuk memudahkan pemahaman, saluran itu membawa maksud bilik undian dan di dalam bilik undian itu akan terdapat dua peti undi yang mana satu peti mewakili undi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu peti lagi undi Parlimen. Di dalam bilik undian itu pula akan terdapat beberapa orang petugas SPR dan diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM). Ejen-ejen calon yang bertanding akan diletakkan di dalam bilik undian itu bagi memantau proses pengundian dari mula hinggalah sampai ke proses pengiraan. Ejen calon juga akan dibekalkan dengan senarai daftar pengundi dimana setiap pengundi yang masuk ke dalam bilik undian itu akan disemak secara bersama bagi memastikan setiap pengundi yang masuk itu berdaftar dengan SPR dan mengelakkan pengundian lebih dari sekali oleh seorang pengundi. Ini diperkuatkan dengan penggunaan dakwat kekal.
Setelah proses pengundian tamat pada pukul 5.00 petang (bergantung pada pusat mengundi), proses pengiraan undi akan berlangsung. Sebelum pengasingan undi mengikut calon bertanding dilakukan, pengiraan jumlah undi akan dilakukan dan akan disahkan oleh ejen-ejen calon yang hadir melalui Borang 13. Setelah itu, barulah proses mengasingkan kertas undi mengikut calon dilakukan dan seterusnya pengiraan kertas undi mengikut calon. Semua ini dilakukan dihadapan ejen-ejen calon bertanding dan perlu disahkan oleh ejen terbabit. Ya, proses ini dilakukan dihadapan mata tanpa sebarang ruang penipuan untuk berlaku. Setelah tamat pengiraan, maka ejen-ejen calon perlu menandatangani Borang 14 untuk pengesahan jumlah undi yang telah dikira dan akan diberikan satu salinan. Proses seterusnya adalah semua kertas undi itu akan dimasukkan ke dalam sampul, dimaterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Akhirnya, peti undi yang bersampul warna kuning itu akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dengan iringan pihak polis. Semua proses ini akan menggunakan nama saluran atau dalam bahasa mudah, bilik undian.
Perlu diingat, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, proses pengiraan undi tidak berlaku, tetapi hanya proses penjumlahan undi mengikut saluran sahaja. Ini bermaksud, pegawai SPR akan menambah jumlah undi mengikut saluran seperti yang telah disahkan oleh ejen-ejen calon bertanding bagi mengetahui jumlah keseluruhan kerusi DUN atau Parlimen tertentu. Proses penjumlahan undi mengikut saluran itu akan dipaparkan kepada umum dan ejen-ejen calon pastinya secara mudah dapat mengesahkan sama ada terdapat penipuan semasa proses penjumlahan kerana mereka memiliki salinan bagi setiap saluran. Untuk kes penambahan kotak undi misteri, hal ini tidak boleh berlaku kerana semua sudah sedia maklum dengan jumlah saluran dan setiap saluran akan mempunyai ejen calon. Untuk memudahkan pemahaman, jika kerusi DUN ‘A’ mempunyai 20 saluran, peti undi DUN yang akan tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi adalah 20 unit. Pastinya, setiap saluran itu akan mempunyai ejen calon. Penambahan peti undi misteri akan mudah dikesan dan jika ia berlaku, bantahan boleh dibuat kerana ejen mempunyai bukti yang kuat tentang jumlah saluran dan jumlah undi bagi setiap saluran yang terlibat. Kehadiran ratusan Pemerhati Luar dan Tempatan daripada beberapa NGO dapat memastikan proses demokrasi berjalan dengan baik semasa proses pilihanraya berlangsung. Kesemua NGO ini akan mengemukakan laporan penuh terhadap proses pengundian yang telah dijalankan.
Apa yang dihuraikan ini adalah contoh salah faham dan penerangan tentang proses sebenar yang berlaku. Benar, terdapat beberapa isu lain yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan seperti isu bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi, pengunaan tempat mengundi yang tidak mesra golongan tua dan OKU, pengundi perlu beratur lama untuk mengundi, penggunaan dakwat kekal yang diragui serta kehadiran pengundi yang diragui status kerakyatannya. Hal ini memang mempunyai dasar yang kuat untuk diperdebatkan, tetapi sikap untuk membangkitkan isu-isu yang lebih bersifat persepsi dan sangkaan ini perlu dihapuskan agar tumpuan dapat diberikan pada isu yang lebih penting. Kita harus menjadi masyarakat yang objektif serta mengikat pada fakta dan bukan masyarakat dibentuk melalui persepsi semata.

Comments