Keajaiban Istighfar & berserah pada Allah

Kisah ini merupakan pengalaman peribadi penulis.


Pada tahun pertama perkahwinan, kami suami isteri tinggal berasingan. Saya bekerja di Melaka dan isteri bekerja di Rawang, Selangor. Isteri ada cuba nasib untuk mencari kerja di Melaka, tetapi rezeki masih belum menyebelahi kami lagi.

Apabila isteri saya mula mengandung, saya terpaksa beralah dan memikirkan kembali rencana untuk mencari kerja di kawasan negeri Selangor. Apabila beberapa kenalan rapat tahu rancangan saya untuk berpindah kerja di kawasan negeri Selangor, saya mendapat panggilan daripada seorang 'boss' besar sebuah syarikat yang mana menjadi 'customer' kepada syarikat saya bekerja. Dia bertanya apakah betul saya sedang merancang untuk mencari kerja di kawasan Selangor dan saya mengiakan.

Kemudian dia menawarkan kerja tetapi saya terpaksa menolak kerana memikirkan bidang kerja baru ini memerlukan saya berurusan dengan syarikat dimana saya sedang bekerja. Saya khuatir berlaku 'conflict of interest' dan kezaliman terhadap etika kerja.

Ketika saya sedang memandu kereta pulang ke Melaka, saya mendapat satu panggilan daripada sebuah syarikat di Rawang yang menawarkan satu jawatan. Saya berpatah balik dan terus pergi temuduga pada sebelah petangnya. Alhamdulillah saya mendapat kerja di Rawang.

Setelah berpindah ke Rawang, beban tanggungan dirasakan amat tinggi. Walaupun gaji bertambah dari sebelumnya, tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.

Alhamdulillah, setelah sebulan bekerja, gaji saya dinaikkan. Kenaikkan gaji ini bukan kerana mendapat confirmation kerja, tetapi saya diberitahu pihak majikan amat berpuas hati dengan prestasi kerja selama sebulan. Pada bulan ke-4, gaji saya sekali lagi dinaikkan kerana sudah confirm diterima bekerja.

Apabila genap setahun bekerja, saya ditawarkan kenaikkan pangkat kepada level Manager. Sekali lagi gaji dinaikkan bersama jawatan baharu. Alhamdulillah, pada usia kurang 28 tahun, Allah telah kurniakan pelbagai nikmat.

Saya selalu membulatkan hati, apabila ditimpa masalah atau dugaan, dengan menyakini bahawa Allah sentiasa ada untuk saya. Dia akan memberikan jalan-jalan dari arah yang tidak kita sangka-sangka. Akidah mesti jelas.

Selain itu, saya pernah mendengar kuliah tentang keajaiban istighfar oleh Dr Maza. Beliau menasihatkan supaya diperbanyakkan istighfar agar urusan hidup menjadi mudah. Saya telah mengamalkan nasihat beliau, dan Alhmadulillah, Allah mudahkan urusan untuk saya.

Yakinlah dengan Allah, dan sentiasa memohon keampunan dariNya!

Comments