Mengapa orang Melayu curiga dengan bukan Melayu?

Artikel ini ditulis sebagai rencah tambahan terhadap tulisan yang telah dikemukan oleh Saudara Ooi Kok Hin bertajuk, “Mengapa orang bukan Islam takut dengan Islamisasi?”. Tulisan ini adalah berbentuk eksperimental yang cuba mengulas isu secara jujur tetapi naïf dan sinikal.


Walaupun Malaysia seringkali dicanang sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang harmoni, tetapi hakikatnya itu hanyalah gambaran luaran yang tampak indah. Hubungan inter-kaum di Malaysia sebenarnya sangat rapuh. Dalam kebanyakkan hal, mereka hanya berinteraksi jika hanya ada keperluan. Contohnya mereka hanya akan berinteraksi dalam urusan yang melibatkan pekerjaan, pembelajaran dan juga apabila melibatkan urusniaga. Tidak bersetuju? Cuba kita mengambil sedikit masa untuk duduk memerhatikan semula interaksi antara kaum di Malaysia, secara jujurnya kita akan terpaksa untuk bersetuju dengan fakta ini.  

Masalah ini timbul kerana wujud perasaan saling tidak percaya di antara mereka walaupun ianya tidak dizahirkan. Saudara Ooi Kok Hin sudah menulis menurut persepsi masyarakat bukan Melayu, maka makalah ini akan cuba mengulas isu ini menurut persepsi masyarakat Melayu.  

Bahasa dan Sekolah Kebangsaan

Setelah beberapa generasi masyarakat bukan Melayu menetap dan menjadi warganegara Malaysia, mereka masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Walaupun tidak dinafikan terdapat sebahagian daripada mereka yang begitu fasih bertuturkan dalam bahasa kebangsaan, tetapi majoriti masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Jika dibandingkan dengan warga asing yang baru menetap di Malaysia, tidak sampai 1 tahun mereka sudah mampu menuturkan bahasa kebangsaan dengan baik, bahkan ada dikalangan mereka yang mampu menuturkan bahasa kebangsaan jauh lebih baik daripada orang bukan Melayu yang lahir dan membesar di Malaysia. Kegagalan menguasai perkara asas seperti ini mendorong orang Melayu mempersoalkan keseriusan bukan Melayu mendokong bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.  

Orang Melayu tidak dapat memahami mengapa perlu wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)? Mereka beranggapan, jika orang bukan Melayu serius dengan jati diri sebagai warganegara Malaysia, mengapa perlu mengasingkan anak mereka belajar dalam sekolah yang lain? Apakah orang bukan Melayu masih beranggapan mereka terikat dengan sentimen negara tanah besar China ataupun India. Soal kesetiaan mereka terhadap negara menjadi tanda tanya. Orang Melayu merasakan, jika atas alasan mahu belajar bahasa ibunda, boleh sahaja Sekolah Kebangsaan menawarkan subjek bahasa Cina atau Tamil. Apa rasional Sekolah Jenis Kebangsaan perlu diwujudkan serta dipertahankan?

Jaringan Kaum

Dalam soal perniagaan dan peluang pekerjaan, terdapat unsur diskriminasi terhadap pekerja dan peniaga Melayu. Jika diamati dalam laman-laman carian kerja, banyak pengiklanannya memerlukan penguasaan bahasa Mandarin sebagai syarat kelayakkan untuk memohon sesuatu jawatan. Jika jawatan itu memerlukan komunikasi dengan syarikat daripada negara China atau Taiwan, itu difahami kerana mempunyai konteks. Tetapi kebanyakkan daripadanya hanyalah syarikat yang beroperasi dalam lingkungan Malaysia sahaja. Barangkali iklan seperti itu sewajarkan diiklankan dalam bahasa Mandarin agar yang membacanya terdiri daripada mereka yang mampu bertutur dalam bahasa Mandarin!

Dalam soal jaringan perniagaan, orang Melayu juga mengalami masalah. Jika peniaga Melayu ingin mendapatkan bekalan barangan tertentu daripada pembekal bukan Melayu, dalam sesetengah keadaan terdapat perbezaan harga yang ditawarkan kepada Melayu dan bukan Melayu. Perbezaan harga ini menyebabkan peniaga Melayu terpaksa menjual barang dagangan mereka dengan harga yang lebih tinggi daripada peniaga bukan Melayu. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan orang Melayu kerana mereka merasakan wujud diskriminasi terhadap mereka.

Pembaratan bukan Melayu

Terdapat kebimbangan masyarakat bukan Melayu terhadap proses Islamisasi yang sedang berlaku di dalam masyarakat  Melayu. Mereka gusar dengan orang Melayu yang mula berfesyen  serban Arab, berjubah Arab dan cuba mengislamkan institusi kenegaraan. Sebaliknya, orang melayu juga merasa bimbang dengan budaya ‘pembaratan’ masyarakat bukan Melayu yang sedang aktif menular. Lihat sahaja kebanyakkan daripada mereka mula menukar atau menambah nama mereka dengan nama yang berbunyi kebaratan. Sudah jarang-jarang nama seperti Lim dan Tan disebut, lebih banyak nama-nama berbunyi ‘mat salleh celop’ disebut seperti Joseph, Joshua dan Jason.

Orang Melayu juga bimbang apabila nilai-nilai budaya yang disepakati secara umum oleh masyarakat timur seperti tidak bersekedudukan sebelum berkahwin dan pemakaian pakaian sopan semakin ditinggalkan. Ada juga usaha-usaha untuk menjadikan nilai-nilai barat sebagai asas mutlak kepada tafsiran ‘human rights’.  Apabila hal ini dibangkitkan oleh orang Melayu, maka mereka dianggap kolot dan cuba mengislamisasikan masyarakat Malaysia. Walhal perkembangan ini akan mencemarkan institusi masyarakat yang telah sepakat menjadikan nilai-nilai ketimuran sebagai asas kepada pembentukan akhlak dan moral masyarakat di Malaysia. Jika orang bukan Melayu berhak untuk merasa takut dengan Islamisasi, orang Melayu pula berasa berhak untuk merasa gusar dengan budaya ‘pembaratan’ bukan Melayu.   

Kaum terpilih

Orang Melayu juga merasakan nilai mereka telah direndahkan oleh masyarakat bukan Melayu. Sesetengah kumpulan dalam masyarakat bukan Melayu menganggap orang Melayu sebagai beban untuk negara ini maju kehadapan. Mereka menganggap orang Melayu sebagai kaum yang malas dan bodoh. Hal ini diburukkan lagi dengan sekumpulan Melayu ‘bajet’ liberal dan progresif yang bersungguh-sungguh merendahkan keupayaan kaumnya sendiri. Apabila kumpulan Melayu ‘bajet’ liberal ini mengiakan pembodohan Melayu secara serkap jarang, maka secara tidak langsung ia telah mewujudkan perasaan ‘superior’ orang bukan Melayu terhadap orang Melayu.    

Apabila wujud perasaan ‘superior’ terhadap orang Melayu, maka justifikasi terhadap keupayaan Melayu akan menjadi sumbing kerana ia telah dibentuk oleh persepsi awal, bukan dinilai secara keupayaan individu. Jika ada perkumpulan wacana atau niaga dikalangan orang bukan Melayu, jarang orang Melayu untuk dilibatkan. Jika ada pun ia bukan atas kapasiti keupayaan dan kepercayaan individu, tetapi lebih kepada memenuhi kehendak kuota. Segregasi ini telah mengasingkan orang bukan Melayu ke satu pelosok dunianya sendiri. Kumpulan manusia terpilih.

Dua hala

Apabila orang bukan Melayu takut dengan proses Islamisasi, maka orang Melayu pula mula merasa curiga. Mengapa perlu takut dengan Islamisasi? Adakah orang bukan Melayu di Malaysia anti-Islam? Soalan-soalan seperti ini bermain diminda orang Melayu dan akhirnya ia digunakan oleh sebagai ahli politik sebagai senjata survival politik mereka. Budaya dialog untuk mendamaikan persoalan ini tidak subur kerana sudah wujud perasaan curiga di satu pihak, manakala di satu pihak lagi berasa mereka ‘superior’ dan tiada keperluan.


Saya tidak kata semua ini betul atau salah, berlaku secara mutlak dan konsensus, tetapi inilah antara sebabnya mengapa orang Melayu merasa curiga dengan bukan Melayu.

Comments