Baru-baru ini, penulis mendapat
satu salinan rakaman sebuah acara ‘Townhall Media Sosial Ledang’ yang
membabitkan seorang ahli parlimen, YB Datuk Ir Hamim Samuri yang kononnya
memberikan pencerahan terhadap isu-isu semasa, terutamanya yang membabitkan Dato’
Seri Najib Razak. Penulis bukan ahli Umno, tetapi merupakan anak jati Ledang
yang secara dekat mengikuti perkembangan politik semasa. Walaupun Hamim Samuri
ada menyentuh isu-isu panas yang lain seperti lantikan menteri “cap ayam”
daripada kawasan Malaysia timur, penulis fokuskan tulisan ini sekitar isu 1MDB
dan derma RM 2.6 bilion sahaja.
1MDB untuk Melayu
Antara hujah yang digunakan YB
Ledang untuk mempertahankan 1MDB adalah dengan mendakwa bahawa pembangkang
sengaja mencipta spekulasi dan persepsi negatif bagi menggagalkan 1MDB kerana
kononnya syarikat ini adalah entiti penting dalam usaha membantu orang Melayu. Hamim
Samuri tidak menyebut secara terperinci apa yang dimaksudkan sebagai membantu
orang Melayu, tetapi hasil dapatan penulis, mungkin ia ada kaitan dengan isu jemaah
haji dan aktiviti CSR yang telah dijalankan. Untuk pengetahuan Hamim Samuri,
apabila 1MDB menghantar ribuan orang Islam pergi menunaikan ibadah haji,
tidaklah bermakna ia membantu orang Melayu dalam erti kata yang sebenar. Ia
juga tidak menjawab persoalan tentang dakwaan salah laku pengurusan dan
bagaimana syarikat itu terbeban dengan sejumlah hutang yang amat besar.
Cubaan mengaitkan 1MDB dengan
orang Melayu adalah satu taktik membebankan oleh Melayu supaya mereka merasa mudah
tercabar apabila syarikat ini berteruskan dikritik secara terbuka oleh
pembangkang dan rakyat Malaysia yang lain. Ini akan menyebabkan isu yang
awalnya berkaitan tentang salah laku pentadbiran bertukar menjadi sentimen
berkauman. Sentimen orang Melayu cuba digunakan sebagai benteng mempertahankan
syarikat 1MDB daripada kritikan salah laku. Penulis percaya, selepas ini
sentimen agama akan digunakan apabila akan ada orang yang mempertahankan 1MDB
dengan alasan ada usaha-usaha pihak barat dan Yahudi yang cuba menjatuhkan
pemimpin negara Islam seperti Najib Razak dengan menggunakan isu ini. Akhirnya
orang Melayu dan Islam terus diperkudakan bagi menutup isu sebenar.
Akibat sarat dengan hutang yang
tinggi, 1MDB terpaksa menjual aset-aset milikannya bagi mengurangkan bebanan
hutang. Antara langkah yang diambil oleh syarikat 1MDB adalah dengan menjual
60% pegangan di Bandar Malaysia dengan harga RM 7.41 bilion kepada sebuah
syarikat usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China
Railway Construction Corp. 1MDB juga terpaksa menjual 100% aset tenaga iaitu
Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation dengan
nilai RM 9.83 bilion. Dengan penjualan aset-aset strategik negara kepada negara
luar, penulis tidak nampak dimana logiknya 1MDB dikatakan mahu membantu orang
Melayu.
Derma RM 2.6 bilion
Apabila menjelaskan tentang isu
derma RM 2.6 bilion, kelihatannya Hamim Samuri juga mengakui tidak mempunyai
maklumat yang lengkap. Beliau juga masih teraba-raba mencari jawapan yang boleh
memuaskan hatinya. Namun, apa yang berbeza Hamim Samuri memilih untuk mendengar
pendapat Menteri bukan Umno yang menurutnya memberikan sedikit keyakinan
kepadanya untuk menerangkan isu ini kepada khalayak umum. Menurut rakaman
tersebut, Najib Razak dikatakan tidak boleh memberikan penjelasan secara
terperinci mengenai derma yang diberikan kepadanya adalah kerana ianya
membabitkan institusi kerabat diraja Saudi. Masalahnya terlalu kompleks kerana
di Saudi terdapat kabilah-kabilah tertentu di dalam institusi beraja yang
kononnya berebut tahta sebelum Raja Salman menaiki tampok pemerintahan Arab
Saudi. Jika Najib Razak memberikan penjelasan tentang isu derma ini, kononnya
ia akan menjejaskan hubungan kedua negara.
Dengan beranggapan benar Najib
Razak menerima derma daripada kerabat diraja Saudi, maka ada beberapa persoalan
yang sepatutnya berlegar difikiran kita. Apabila duit sebesar ini disumbangkan
ke dalam akaun peribadi Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia, apakah yang
diharapkan sebagai timbal balik. Jika tidak ada, apakah tujuan asal sumbangan
ini diberikan? Memerangi ancaman ISIL? Bantuan kempen pilihanraya? Menyebarkan
fahaman mazhab Hambali di Malaysia? Mengapa Najib Razak memulangkan baki derma
yang kononnya tidak digunakan selepas pilihanraya? Benarkah derma yang
diberikan benar-benar telah disalurkan pada urusan yang sepatutnya?
Baru-baru ini Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menyatakan bahawa seramai 744 orang
penerima biasiswa universiti luar negara telah dipotong dan telah ditukarkan
kepada biasiswa universiti dalam negara. Pemotongan ini dapat menjimatkan
perbelanjaan kerajaan sebanyak RM 240 juta. Mengapa Najib Razak boleh
memulangkan wang derma yang berbaki USD 620 juta, sedangkan derma itu boleh
disalurkan kepada pelajar yang memerlukan biasiswa?
Terlalu banyak persoalan yang
berbangkit dan tindakan kebanyakkan pemimpin Umno untuk tuli taat tanpa banyak
soal amat mendukacitakan. Mereka sedaya upaya untuk bersangka baik, tindakan
mereka umpama menutup bangkai gajah. Bau bangkai terlalu kuat untuk
disembunyikan.
Imej Najib Razak dan
Malaysia di mata dunia
Selain isu 1MDB dan derma RM 2.6
bilion, Najib Razak juga berhadapan dengan skandal tuduhan rasuah membabitkan
pembelian aset pertahanan iaitu dua kapal selam sewaktu dia memangku jawatan
Menteri Pertahanan. Menurut laporan The Financial Times (FT) pada 4 Februari
2016, pihak pendakwaraya Paris telah melancarkan siasatan secara rasmi terhadap
Najib Razak dan pihak hakim akan menentukan sama ada Bernard Baiocco, bekas
Presiden Thales International Asia ada membayar sejumlah wang kepada Najib
Razak melalui kenalan rapat beliau bagi memenangi bidaan pembelian dua unit
kapal selam.
Pada 30 Januari 2016 pula, Wall
Street Journal (WSJ) melaporkan pihak pendakwaraya Swiss menyatakan terdapat
indikasi yang menunjukkan bahawa terdapat dana berjumlah 4 bilion telah disalah
guna dan mereka sedang melihat kemungkinan empat kes jenayah. Dilaporkan
terdapat sejumlah dana telah dipindahkan ke dalam Swiss akaun yang mana akaun
ini dipegang oleh bekas pengawai tinggi Malaysia dan bekas pegawai daripada
negara United Arab Emirates (UAE).
Kedua kes ini menyebabkan nama
Najib Razak dan Malaysia menjadi terkenal kerana sebab yang salah. Keseriusan
masalah tadbir urus negara kita telah menjangkau kepada satu tahap yang luar
biasa apabila berjaya mengheret dua negara untuk terlibat sama dalam siasatan
salah tadbir negara kita. Ini sesuatu yang memalukan negara.
Parlimen & Umno
Ledang
Sewaktu Pilihanraya Umum ke-13
berlangsung, penulis terlibat sebagai Pemerhati bagi kawasan parlimen Ledang
dibawah kendalian kumpulan think-tank,
Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dengan kebenaran pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Tugas
Pemerhati adalah melakukan pemerhatian dan menulis laporan tentang bagaimana
proses demokrasi berlangsung sewaktu proses penamaan calon, tempoh berkempen,
pengundian dan semasa pengiraan undi. Pengalaman penulis sewaktu menjadi
Pemerhati parlimen Ledang menunjukkan trend sokongan pengundi terhadap Umno
semakin merosot dengan teruk sekali, terutamanya dikalangan pengundi muda. Pada
tahun 2004, Hamim Samuri mendapat 74% undi, kemudian merosot pada tahun 2008
dengan hanya 57% undi, dan pada tahun 2013, sokongan pada Hamim Samuri hanya
tinggal 50% sahaja berbanding calon PKR, Hassan Abdul Karim yang mendapat 47%
undi.
Pada tarikh 15 Mac 2016, Umno
bahagian Ledang ada mengutuskan surat kepada Setiausaha Agung Umno menyatakan
pendirian menyokong penuh kepimpinan Najib Razak sebagai Presiden Umno dan
Perdana Menteri Malaysia. Surat ini dinamakan Deklarasi Kepimpinan Umno Ledang.
Menurut laporan portal Umno-Online, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan
bahawa Persidangan Tahunan Cawangan Umno akan bermula 18 Mac hingga 1 Mei 2016,
manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian pula akan bermula pada 1 Ogos hingga 15
September 2016. Jika surat ini diutuskan pada tarikh 15 Mac 2016, sebelum
bermulanya persidangan tahunan cawangan Umno, apakah Deklarasi ini benar-benar
mencerminkan hati nurani ahli Umno Ledang, atau pun ia hanyalah sekadar
penyedap halwa pimpinan atasan yang hanya mahu dengar yang baik-baik sahaja?
Sudahlah sokongan akar umbi jatuh
merundum, kemudian golongan elitis Umno cuba berlagak kononnya memahami hati
nurani akar umbi. Wahai Hamim Samuri, realiti sebenar tidak secantik sokongan
di atas kertas.
Comments