PEMBOHONGAN P. WAYTHA MOORTHY DAN DILEMA ORANG INDIA


Bermula dengan isu cadangan untuk meraktifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), kemudian ia telah meleret menjadi isu perkauman dan sentimen politik kepartian. Antara cara mudah untuk mematikan isu ini ialah dengan “membunuh” karekter dan peribadi pembawa atau pejuang kepada isu ini. Senator P. Waytha Moorthy sedang “dibunuh” dengan ditularkan kembali rakaman temuramah tahun 2011 yang mana rakaman ini telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia kerana P. Waytha Moorthy membawakan fakta yang salah dan jelas memburukkan imej kerajaan Malaysia di mata dunia. Ketika itu P. Waytha Moorthy belum lagi memegang sebarang jawatan di dalam kerajaan dan bergerak aktif menggunakan platform Hindu Right Action Force (Hindraf).

Pembohongan HINDRAF


Di dalam temuramah yang ditularkan itu, P. Waytha Moorthy menyebut orang Hindu di Malaysia dipaksa memeluk agama Islam jika mereka mahu bekerja di dalam sektor awam. Ini merupakan satu pembohongan yang amat besar dan tidak logik sama sekali. Jika kita pergi ke mana-mana agensi kerajaan, pastinya kita akan dapat melihat penjawat awam berbangsa India dan masih menganut agama Hindu tanpa perlu menukar status agama. Menurut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di dalam akhbar Sinar Harian 11 Julai 2012, pada tahun 2011 dicatatkan permohonan orang Melayu ke jawatan kerajaan ialah sebanyak 893,292 dan 28,367 diterima bekerja di dalam sektor awam. Manakala bagi orang India pula, dalam tempoh yang sama, terdapat 36,729 permohonan dan sebanyak 2,316 diterima bekerja didalam sektor awam. Kadar pengambilan pekerjaan oleh kaum India jauh mengatasi kaum Melayu iaitu 6.3% kadar penerimaan berbanding kaum majoriti Melayu yang hanya 3.2% kadar penerimaan. Kadar penerimaan kaum India disektor awam adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Melayu. Kaum mana yang telah didiskriminasi?

Antara tuduhan yang lain adalah dia menyebut tentang kononnya 10,000 kuil telah dimusnahkan di Malaysia dan berbaki 23,000 kuil lagi sedang diancam bahaya. Memang benar ada sebahagian kecil kuil Hindu telah dimusnahkan dan hal ini berlaku bukan kerana ingin melakukan diskriminasi agama, tetapi lebih kepada peraturan kerana pembinaan kuil itu dibina secara haram dan tanpa kelulusan pihak berkuasa. Hal yang sama juga berlaku kepada Surau jika dibina bertentangan dengan undang-undang di Malaysia. Jika kita ambil bulat-bulat angka “fakta” yang diberikan oleh pemimpin Hindraf ini, maka di Malaysia pernah terdapat sekitar 33,000 kuil Hindu (termasuk yang kononnya telah dimusnahkan). Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, pada tahun 2016 terdapat 6,384 buah masjid dan 17,493 buah surau. Jumlah keseluruhan rumah ibadah bagi orang Islam di Malaysia ialah 23,877 buah. Apakah benar jumlah kuil Hindu di Malaysia 10,000 lebih banyak berbanding surau dan masjid? Jika benar, penganut agama mana yang telah ditindas?


P. Waytha Moorthy juga mendakwa kononnya Institutsi Pengajian Awam (IPTA) di Malaysia memberikan penempatan 90% kepada pelajar kaum Melayu Islam sahaja. Ini satu lagi pembohongan yang besar. Pada sesi pengambilan pelajar universiti awam 2009/2010, seramai 40,366 calon telah ditawarkan mengikuti kursus ijazah. Daripada jumlah ini, seramai 27,829 calon berbangsa Melayu (68.9%), 10,116 calon berbangsa Cina (25%), dan 2,421 calon berbangsa India dan lain-lain (5.9%). Komposisi kaum di Malaysia merekodkan, 62% rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan Bumiputera, 28% berbangsa Cina dan 7.2% berbangsa India. Jika kita bandingkan komposisi kaum di Malaysia dengan penerimaan pelajar di universiti awam mengikut kaum, maka kita akan lihat peratusannya tidak begitu banyak beza walaupun masih ada ruang yang perlu kepada penambahbaikan.

Mungkin ketika temuramah ini sedang dijalankan, P. Waytha Moorthy sedang memberikan fakta penindasan orang Islam di negara India tetapi tersalah negara Malaysia ketika menyebutnya.

Dilema orang India di Malaysia


Walaupun kita menentang pembohongan dan pemalsuan fakta seperti yang pernah dilakukan oleh Senator P. Waytha Moorthy, tetapi ini bukan bermaksud kita ingin menafikan kewujudan masalah sosial dan ekonomi yang sedang dihadapi oleh kaum India di Malaysia.

Pada tahun 2002, kaum India di Malaysia mempunyai kadar ‘intra-ethnic income inequality’ tertinggi jika dibandingkan dengan kaum Cina dan Melayu. Kadar gini coefficient untuk kaum India berada pada 0.44 berbanding Melayu dan Cina 0.42 sahaja. Gini coefficient merujuk kepada agihan kekayaan, jika berada pada kadar ‘0’, maka agihan kekayaan dalam kumpulan itu sama rata, tetapi jika pada kadar ‘1’ maka agihan kekayaan melebar dengan sangat teruk.

Walaupun ‘household income’ kaum India jauh lebih baik berbanding kaum Melayu, tetapi tumpuan kekayaan masyarakat India hanya tertumpu pada golongan T20 dan M40 sahaja. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Malaysian Indian Blueprint (MIB), segmen T20 & M40 menguasai 83% daripada keseluruhan pendapatan kaum India, manakala baki 17% dikuasai oleh golongan segmen B40.

Di dalam laporan yang sama juga menyebut, 10% daripada segmen B40 ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1000 sebulan. 10% ini bersamaan dengan 22,760 isi rumah. Ini bermaksud, terdapat 22,760 isi rumah kaum India di Malaysia yang mempunyai pendapatan dibawah RM1000 sebulan. Kebanyakkan mereka bekerja sebagai operator mesin, operator kilang, dan pekerja dibahagian perkhidmatan/jualan.

Kaum India di Malaysia juga mempunyai masalah keciciran di dalam pendidikan dimana prestasi pelajar kaum India berada di bawah paras kadar purata nasional. Pada tahun 2015, hanya 54% pelajar India lulus semua subjek peperiksaan UPSR berbanding kadar purata nasional iaitu 66%. Manakala bagi peperiksaan SPM pula, pelajar India lulus semua subjek peperiksaan hanya pada kadar 44% berbanding kadar nasional 55%. Pelajar kaum India juga memiliki kadar keciciran sekolah yang tinggi dengan 13% (1000 murid) di sekolah rendah dan 8% (4,300) di sekolah menengah.

Kadar jenayah yang melibatkan kaum India juga agak tinggi. Menurut PDRM, pada tahun 2014 penangkapan jenayah yang ganas melibatkan kaum India ialah 31% walaupun representasi komposisi kaum India di Malaysia hanyalah 7% sahaja. Dianggarkan terdapat lebih 100,000 orang India yang berada di dalam kumpulan keluarga bermasalah kerana terlibat dengan masalah keganasan rumah tangga, penceraian, ketagihan arak, aktiviti jenayah dan juga bunuh diri.

Kesemua masalah ini telah menyumbang kepada ‘Malaysian Indian Dilemma’ dan watak seperti P. Waytha Moorthy ini muncul untuk menjadi pejuang kepada golongan ini dan seakan cuba memenuhi ruang vakum yang telah ditinggalkan kosong.

Kesejahteraan untuk semua

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2017 pernah melancarkan pelan Malaysian Indian Blueprint (MIB) yang mana mensasarkan penambahbaikan kedudukan sosial dan ekonomi masyarakat India untuk jangka masa panjang. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula telah memberikan komitmen untuk menyambung pelan ini dan ketika pembentangan Belanjawan 2019, Saudara Lim Guan Eng telah mengumumkan peruntukan khas RM100 juta kepada komuniti kaum India. Peruntukkan ini bertujuan untuk menyokong program latihan teknikal dan kemahiran bagi meningkatkan peluang kerjaya belia India.

Setiap orang memiliki hak untuk memperjuangkan hak dan ideologi masing-masing. Tetapi perjuangan itu mestilah berdasarkan fakta dan bukan andaian semata, apatah lagi dengan pembohongan bersifat kebencian. Walaupun video yang tular itu telah lama, tetapi Senator P. Waytha Moorthy wajar memohon maaf secara terbuka di atas kekhilafan lalu. Sehingga kini, dia seakan berkeras mempertahankan pendiriannya yang lalu dengan menyalahkan kerajaan UMNO-BN. Jika dia masih terus berkeras dengan cerita bohongnya itu, Tun Mahathir selaku Perdana Menteri yang memiliki kuasa perogatif perlu menggunakan kuasanya jika difikirkan perlu. Senator P. Waytha Moorthy telah menjadi beban dan liabiliti kepada kerajaan PH untuk bergerak kehadapan.

Malaysia perlu keluar daripada perbincangan kaum secara bias dan toksid kepada perbincangan yang lebih matang, terbuka dan inklusif kerana masalah komuniti India itu juga merupakan sebahagian daripada masalah Malaysia!

Comments