Semakin
ramai wakil rakyat UMNO yang mengistiharkan keluar parti dan menunjukkan
kecenderungan untuk menyertai parti BERSATU atau parti-parti komponen Pakatan
Harapan (PH). Ada juga sebahagian daripada mereka yang telah pun diterima masuk
dan menjadi sebahagian daripada ahli parti BERSATU.
Fenomena
ini telah menimbulkan keresahan politik dan majoriti rakyat dilihat menolak
perbuatan wakil rakyat UMNO yang keluar parti dan melompat kepada parti
pemerintah. Jika yang keluar melompat parti itu ahli biasa UMNO atau sekadar
pemimpin kecil di peringkat Bahagian, maka impaknya tiada siapa yang peduli.
Tetapi
apabila yang melompat keluar itu wakil rakyat yang telah dipilih menggunakan
logo BN-UMNO, maka tindakan ini boleh dibaca sebagai mengkhianati amanah rakyat
yang telah memilih mereka atas kapasiti wakil kepada parti UMNO ketika pilihan
raya berlangsung.
Dua
pertiga Parlimen
Antara
alasan yang digunakan untuk menghalalkan acara melompat parti secara berjemaah
ini adalah dengan membawakan hujah bahawa ianya penting bagi mendapatkan
sokongan dua pertiga di Parlimen agar dapat dilaksanakan segala agenda
reformasi seperti mana yang tertulis di dalam Buku Harapan.
Jika
ahli Parlimen “katak” itu benar-benar percaya dengan agenda reformasi, sokongan
ini boleh sahaja dilakukan tanpa perlu melompat parti atau menjad daripada ahli
parti pemerintah. Sokongan di dalam dewan rakyat tidak dikira berdasarkan
keahlian parti, tetapi melalui penyataan sokongan di dalam dewan!
Bekas
pengerusi BERSIH, Ambiga Srenevasan dilaporkan berkata, “Reformasi perlembagaan
yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat patut didapatkan melalui
kerjasama dwipartisan dan bukanlah dengan MP berpaling tadah menyokong parti
pemerintah”.
Mereka
telah insaf
Demi
mempertahankan tindakan melompat parti ini, ada yang menyatakan bahawa mereka
telah insaf dan sedar dengan kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum ini
ketika bersama dengan UMNO. Tindakan mereka melompat kepada parti BERSATU atau
mana-mana parti komponen di dalam PH adalah tanda mereka sedang menjalani
proses “taubat” dengan kembali kepada kebenaran.
Jika
mereka benar-benar telah insaf, sepatutnya mereka menumpukan kerja-kerja
pemulihan parti dengan melakukan agenda reformasi dalaman parti. Pemulihan UMNO
harus segera dilakukan agar parti ini kekal kuat, relevan dan mampu menjadi
pembangkang yang mempunyai kredibiliti.
Pakatan
Harapan selaku kerajaan perlu mempunyai pembangkang yang kuat dan boleh
berfungsi agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan baik. Jika
semua wakil rakyat yang “baik-baik” dan yang telah “insaf” melompat di blok
kerajaan, maka siapakah yang mahu mengambil peranan untuk semak dan imbang?
Adakah kita akan bergantung harap kepada ahli Parlimen Pasir Salak dan
Kinabatangan?
Menghalang
Anwar Ibrahim
Ada
sebahagian penganalisis politik membaca tindakan melompat parti ini sebagai
satu usaha untuk memperkuatkan parti BERSATU dan cubaan untuk menggagalkan
rancangan Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Tun Mahathir.
Tidak
dapat dipastikan sama ada hal ini benar atau sekadar cakap-cakap, tetapi ada
hal yang perlu diperingatkan kepada semua pemain politik.
Krisis
Mahathir-Anwar telah menyebabkan negara berpolemik selama 20 tahun. Banyak
tenaga dan masa telah dibazirkan dengan fokusnya berulang kali membincangkan
isu Mahathir melawan Anwar dan Anwar melawan Mahathir. Selama 20 tahun politik
Malaysia tidak pernah letih mempolemikkan hal ini.
Jika
memang benar wujud perancangan ini, dan dengan kuasa Allah ia berhasil. Maka
politik Malaysia akan mengulangi kitaran 20 tahun lepas. Kita akan kekal
membincangkan isu sekitar Mahathir melawan Anwar dan sebaliknya. Politik
Malaysia tidak akan dapat berganjak lagi. Percayalah, ianya sangat memenatkan
dan menjengkelkan. Politik Malaysia kini sepatutnya sudah melihat apa selepas
Mahathir dan Anwar.
Kekuatan
sedia ada
Harus
diakui, PH tidak akan berwenang-wenang menerima wakil rakyat yang melompat dari
UMNO. Dimaklumkan akan berlaku proses saringan dan hanya mereka yang melepasi
proses saringan ketat ini akan diterima masuk.
Tetapi,
jika PH tidak menerima masuk mereka ini, apakah akan ada kerugian dipihak kita?
Apakah kekuatan sedia ada yang mampu menumbangkan rejim UMNO-BN selama 60 tahun
ini tidak cukup kuat? Mengapa kita tidak menambah baik kekuatan sedia ada? Kita
bina kekuatan akar umbi.
Apakah
kita mahu bergantung harap kepada mereka yang berdiam diri ketika negara
dirobek-robek sang pencuri? Menegur Presiden parti sendiri pun tidak berani.
Apakah tersisa keberanian dalam diri mereka untuk membela rakyat nanti?
Maafkan penulis kerana terlalu naif untuk memahami hal ini.
Comments