MENGAPAKAH PERLU WUJUD PARTI ANAK MUDA DI MALAYSIA?

oleh: Abdul Azim Bin Roslan


Di Malaysia, belum ada lagi parti politik yang memberikan fokus utama mengangkat anak muda sebagai pemimpin tertinggi dan memberikan perhatian khusus terhadap isu-isu anak muda. Walaupun begitu, hampir semua parti politik sedia ada mempunyai sayap yang dikhaskan untuk golongan anak muda seperti Pemuda atau pun Puteri. 


Keserabutan iklim politik di Malaysia kini kebanyakkannya disumbangkan oleh ahli politik 'senior' yang mempunyai banyak beban atau 'luggage' silam. Mereka saling mencatur dan bertengkar tentang hal-hal bukan polisi negara. 


Akhirnya, sedikit sebanyak ahli politik muda yang bernaung dibawah payung parti politik yang sama turut terheret dan bergelumang dalam konflik politik yang tidak berkesudahan. Pertarungan itu pula banyak tidak membawa manfaat kepada rakyat. 


Kita memerlukan naratif dan wacana baharu dalam iklim politik di Malaysia. Antara hal yang boleh dicadangkan ialah dengan mewujudkan sebuah parti politik yang memberikan keutamaan kepada pemimpin muda dan ia fokus terhadap polisi serta isu-isu semasa anak muda.


Antara alasan mengapa parti politik berteraskan anak muda perlu diwujudkan adalah seperti berikut:


1. Pindaan perlembagaan persekutuan yang membenarkan pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun akan menyebabkan pertambahan pengundi baru sebanyak 7.8 juta untuk tempoh lima tahun akan datang. 


2. Pertambahan pengundi baru yang sangat besar dan majoritinya adalah anak muda. Mereka memerlukan parti atau pemimpin muda yang dekat dan memahami aspirasi mereka. 


3. Parti politik sedia ada tidak cukup memberikan ruang sebaiknya kepada pemimpin muda untuk naik. Antara cara untuk 'catalyst' hal ini adalah dengan mewujudkan persaingan.


4. Kewujudan parti anak muda ini secara tidak langsung akan memberikan tekanan kepada parti politik sedia ada untuk memberikan lebih banyak peluang kepada sayap pemuda mereka untuk dijadikan calon ketika musim PRU atau PRK. Persaingan sihat untuk mencalonkan lebih ramai pemimpin politik muda akan berlaku sesama parti politik untuk 'cater demand' daripada anak muda. 


5. Jika lebih ramai calon anak muda yang bertanding dan menang kerusi Parlimen atau DUN, maka secara tidak langsung perbincangan mengenai dasar dan polisi negara akan menjadi lebih mesra anak muda di masa hadapan. 


6. Pada sesi sidang Parlimen baru-baru ini, YB Syed Saddiq diejek dan dipermainkan oleh ahli-ahli Parlimen (MP) senior dengan mempermainkan usianya yang muda. Hal ini menimbulkan kemarahan anak muda di media sosial yang jelek dengan sikap MP-MP senior yang tidak fokus terhadap isu serta tidak matang di dalam berhujah. 


7. Sikap ini amat jarang dipamerkan oleh MP-MP muda tidak kira daripada blok kerajaan atau pun pembangkang. Jika berlaku pertambahan ketara MP dari kalangan anak muda, maka perbahasan di Parlimen diharapkan akan menjadi lebih matang dan sihat. 


Ada yang bertanya, bagaimanakah nanti rupa struktur parti anak muda ini? Adakah yang hanya berusia bawah 30-an atau 40-an - bergantung kepada definisi usia anak muda yang dipakai - sahaja yang dibenarkan untuk sertai? Apa akan jadi nanti apabila melepasi had usia ini?


1. Walaupun parti ini disebut parti anak muda, tetapi kelonggaran dan fleksibiliti itu perlu ada. Dicadangan agar kuota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT / Supreme Council) menetapkan 70% mestilah berusia 40 tahun dan kebawah. Manakala baki 30% lagi terbuka kepada pemimpin berusia 40 tahun hingga 55 tahun sahaja. 


2. Apabila ada ahli yang mencecah usia lebih 55 tahun, mereka hanya boleh kekal menjadi ahli biasa tetapi tidak boleh memegang jawatan bersifat eksekutif (pembuat dasar). Hal ini ditetapkan agar pelapis pemimpin muda akan dapat naik dan menggantikan pemimpin lama. 


3. Kuota 70% pula penting untuk memastikan parti anak muda ini akan terus dikuasai pemimpin muda dan setiap keputusan parti yang akan dibawa pula akan mencerminkan suara anak muda terbanyak. 


Benar, mempunyai pemimpin yang berusia muda tidak menjamin Malaysia akan menjadi lebih baik jika mereka masih memiliki mentaliti buruk sama seperti sebahagian daripada pemimpin politik senior. 


Tetapi dengan membuat andaian dan tanggapan awal seperti itu pun tidak akan membantu menjadikan Malaysia lebih baik. Apatah lagi dengan membenarkan 'status quo' terus kekal tanpa berbuat apa-apa. 


Lewat ini sudah ada usaha ke arah penubuhan parti anak muda. Dikhabarkan ia akan dipimpin oleh seorang MP anak muda dari Johor. Jika benar ia terlaksana dan memiliki aspirasi anak muda, maka usaha ini wajar disokong.  


Ini kerana Malaysia perlukan naratif politik segar dan baharu!

Comments