Budaya Kritik dan Kritis

Semenjak Pilihanraya Umum ke -12 berlangsung, budaya kritik dan kritis semakin membugar dalam masyarakat kita di Malaysia. Keterbukaan dan kebebasan ini bergerak seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat. Kepesatan perkembangan ini menyebabkan makcik-makcik di kampung juga sudah bisa memberikan kritikan terhadap jirannya melalui ruang laman sosial. Semua orang kini sudah mampu mengkritik idea dan tindakan orang lain. Namun, apakah sebenarnya budaya kritik dan kritis yang kita ingin semai dalam masyarakat kita?




Dalam suasana intelektual, budaya kritik dan kritis terhadap sesuatu idea adalah normal bahkan ia adalah suatu tuntutan sikap yang amat digalakkan bagi mengembangkan dan memperkemaskan idea itu. Kita biasanya akan menggelar tukang kritik itu sebagai pengkritik dan dalam banyak keadaan pengkritik akan duduk di kerusi lawan. Apa yang dimaksudkan sebagai kerusi lawan ialah pengkritik itu sudah sinonim dikenali sebagai orang yang berada di dalam platform yang berbeza dengan penyumbang idea dan disifatkan memiliki kepentingan tertentu. Namun itu bukanlah definisi secara mutlak untuk pengkritik, ramai juga pengkritik yang bersikap neutral semasa mengkritik dan berada dalam platform yang sama.

Dalam membangunkan sebuah idea, peranan pengkritik amat penting dimana perbezaan sudut pandang terhadap idea itu akan memberikan lebih banyak perbincangan. Seterusnya ia akan memberikan nilai tambah dan percambahan idea-idea baharu dan segar. Namun budaya kritik dan kritis berhadapan dengan beberapa situasi yang mana memerlukan penyusunan dan pembetulan. Perkara utama ialah, apabila ada satu kumpulan atau individu dikritik kerana idea dan tindakannya, ini tidak bermakna si pengkritik itu secara pasti berniat untuk menjatuhkan kelompok itu walaupun dia bertindak atas kapasiti mewakili kelompok lawan. Jika benar pun hal itu berlaku, kumpulan yang dikritik hendaklah bersifat terbuka dan membalas kritikan itu dengan hujah-hujah yang berdasarkan fakta, rasional dan berakhlak. Kita tidak sewajarnya mengambil jalan mudah dengan menuduh pengkritik itu sebagai pencacai, barua, wahabi, atau ahlul bidaah kerana mungkin disebabkan dia penganut fahaman yang berbeza ataupun mewakili kumpulan lawan. Tindakan seperti ini tidak lebih daripada mencipta sebuah alasan untuk tidak menjawab kritikan orang lain dengan hanya memberikan label-label tertentu dengan harapan ia akan mematikan semua kritikan terhadap kumpulannya. 

Sebelum mengkritik, kita perlu faham tentang apa yang ingin dikritik. Dewasa ini di Malaysia, semua orang ingin bercakap dan memberikan pendapat, langsung mengkritik dalam masa yang sama. Seperti yang ditegaskan di awal rencana, budaya kritik dan kritis amat baik untuk perkembangan sesebuah masyarakat. Namun budaya ini perlu hadir dengan sikap yang bertanggungjawab. Untuk menjadi seorang pengkritik bukan hanya sekadar memerlukan sebuah akaun ‘facebook’ atau ‘twitter’, tetapi lebih daripada itu kita memerlukan ilmu dan kefahaman yang baik terhadap sesuatu isu atau idea yang ingin di kritik. Ini tidak bermakna kita perlu menjadi ahli di dalam bidang yang ingin dikritik, tetapi untuk orang awam cukup sekadar berilmu dan memahami sesuatu isu atau idea secara baik dan umum. Ini bagi mengelakkan daripada pengkritik bercakap secara merapu, memfitnah dan akan hanya menjatuhkan imejnya sahaja. Kita harus meraikan hak setiap orang untuk mengkritik, namun untuk membataskan kritikan untuk hanya patut datang daripada yang ahli (baca: mendapat pendidikan formal) adalah satu tindakan yang bersifat diktaktor dalam disiplin ilmu. Setiap orang mempunyai hak, yang penting dia faham, berilmu dan berakhlak. Hatta Makcik di kampung juga layak untuk mengkritik Perdana Menteri jika dia memenuhi syarat-syarat ini!

Kesilapan besar sebahagian pengkritik ialah, apabila mereka mengkritik, mereka sangka akan suci daripada sebarang kritikan balas. Ada fenomena di mana pengkritik hanya tahu mengkritik, namun apabila ada kritikan balas, pengkritik secara mudah akan menuduh mereka yang dikritik sebagai tidak bersifat terbuka dan tidak mahu menerima kritikan pihak lain. Walhal hakikatnya, pengkritik itu sendiri yang bersifat tidak terbuka untuk menerima kritikan balas. Sepatutnya, pengkritik harus lebih bersedia dan terbuka untuk mempertahankan hujah-hujahnya, tidak pula mengulangi kesilapan orang lain dengan hanya memberikan alasan secara malas dengan bertujuan untuk lari daripada menjawab kritikan balas. Kita tidak boleh berfikir bahawa, orang lain akan menerima bulat-bulat kritikan kita terhadap idea dan tindakan mereka. Ini kerana, mereka pastinya mempunyai alasan dan hujah sebelum melontarkan idea atau mengambil tindakan tertentu. Setiap tindakan ini umpama roda yang berpusing dan kitarannya akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Apa yang penting, jika kita mampu bersikap kritik dan kritis terhadap ‘musuh’ dan orang lain, kita harus juga bersikap adil dengan melakukan hal yang sama terhadap diri sendiri dan dengan mereka yang kita puja dan sanjungi. Jangan pula hanya kerana hubungan dan keakraban tertentu, pandangan kita yang bersifat kritis itu kita diamkan. Bersikaplah adil dalam mengkritik, bukankah adil itu lebih dekat dengan takwa?

Comments