Thursday, June 30, 2011

[PPM-Siri 1] Perhimpunan BERSIH: Umat Islam Diperalat?

[Pena Politik Malaysia - Siri 1]
Perhimpunan BERSIH: Umat Islam Diperalat?
Menjadi satu hak kepada rakyat untuk memiliki kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan didalam sebuah negara yang bebas dan demokratik seperti Malaysia. Masyarakat pra-moden seperti Malaysia memang akan melalui fasa dimana terdapat kerencaman pemikiran yang masing-masing memiliki nilai kebenaran pada sudut pandangan berbeza. Perbezaan inilah yang akan melahirkan keghairahan untuk pendapat dan pandangan mereka agar didengar dan selalunya mahu untuk dituruti. Permasalahan yang timbul kini, bagaimana kita sebagai sebuah negara yang didasari oleh prinsip Islam dan miliki kepelbagaian penduduk yang berbeza agama, bangsa dan latar pendidikan mahu menguruskan hal ini. Dalam konteks semasa, penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 merupakan salah satu bentuk menifestasi keghairahan sebahagian rakyat agar suara mereka didengari dan mahu dituruti. Kita meraikan keghairahan mereka untuk meluahkan pandangan dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Hal ini wajib dikongsi oleh semua khalayak yang hidup didalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. 
 
Sebelum mengulas lebih panjang tentang isu perhimpunan BERSIH dan kaitannya dengan umat Islam, lebih baik jika sejarah penubuhan dan objektif gagasan BERSIH itu dikupas ringkas terlebih dahulu. BERSIH secara rasmi telah ditubuhkan pada 23 November 2006 di kawasan lobi Parlimen. Gagasan ini didakwa disokong oleh badan-badan bukan kerajaan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Women’s Development Collective (WDC) dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI). Tuntutan utama BERSIH adalah untuk mendesak supaya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil. Gagasan BERSIH 2.0 pula diketuai oleh Dato’ Ambiga Sreenevasan dan dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Andrew Khoo, Arumugam K, Farouk Musa dan lain-lain. Jika dilihat kepada tuntutan-tuntutan utama BERSIH, umum pastinya bersetuju bahawa niat mereka sangat baik dan patut disokong. Setiap dari rakyat berhak untuk mendapatkan pilihanraya yang adil dan bersih. Ini merupakan perkara asas didalam sebuah negara demokrasi dan hal inilah yang menjamin kelangsungan keberkesanan amalan demokrasi. Namun, penglibatan secara langsung parti politik seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratik Action Party (DAP) dan Parti Se-Islam Malaysia (PAS) didalam BERSIH menimbulkan rasa tidak senang sesetengah pihak apatah lagi perhimpunan BERSIH dianjurkan dijalanraya yang pastinya akan menimbulkan pelbagai masalah lain kelak. 
 
Secara asasnya, tiada masalah jika BERSIH ini disokong oleh mana-mana parti politik seperti PKR, DAP, PAS, hatta UMNO, namun apa yang dibimbangi sokongan itu lebih berbau sentimen politik dan sengaja diambil pendirian itu untuk manfaat politik masing-masing. Seperkara yang harus diakui, sokongan orang Melayu Islam terhadap Pakatan Rakyat (PR) semakin menurun dan hal ini dapat dibuktikan dengan kekalahan calon-calon mereka didalam Pilihanraya Kecil dikawasan majoriti Melayu Islam. Faktor utama penurunan sokongan itu berkemungkinan besar disumbangkan oleh jenayah moral yang didakwa dilakukan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bermula dengan dakwaan liwat oleh Saiful Bukhari sehinggalah yang terbaharu iaitu skandal video seks. Sedar tentang penurunan momentum sokongan orang Melayu Islam kepada Pakatan Rakyat semakin menurun, berkemungkinan perhimpunan BERSIH diharapkan mampu menjadi platform untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap PR. Sejarah dalam konteks Malaysia telah menunjukkan bahawa, bangsa lain seperti kaum Cina tidak gemar memilih demonstrasi jalanan sebagai jalan alternatif agar suara mereka didengar. Mereka lebih banyak menggunakan pendekatan bijak melalui desakan terhadap kerajaan melalui NGO-NGO mereka yang aktif dan juga menggunakan kuasa ekonomi yang telah mereka kuasai. Maka dianggarkan bahawa lebih 80% manusia yang berhujan panas dijalanan itu nanti majoritinya masyarakat Melayu Islam. Lihat sahaja bukti pada penganjuran BERSIH yang pertama. Ini menjadi antara hujah logik dimana medan perhimpunan BERSIH ini berkemungkinan digunakan sebagai platform mengembalikan momentum sokongan orang Melayu terhadap PR. Kerisauan ini wujud kerana dokongan atas nama politik seringkali menimbulkan pelbagai implikasi yang negatif dimana matlamat asal seringkali tersasar dan jauh terjerumus kepada masalah baru. Mungkin benar sebahagian ahli politik yang menyokong BERSIH ini berniat murni dan memang memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil, namun bagaimana sebahagian lain mereka yang seringkali mengambil kesempatan di atas isu-isu yang telah berlaku? Apa jaminan mereka?

Perhimpunan BERSIH yang memilih jalanraya sebagai medan luahan pandangan pada asalnya tiada masalah. Perhimpunan secara aman serta dikawal oleh pihak Polis pastinya tidak mendatangkan sebarang masalah, contohnya seperti demonstrasi bantahan terhadap kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin telah berjalan dengan baik. Namun apabila BERSIH mula mendapat sentuhan atas nama parti politik, ia menimbulkan kebimbangan. Kenyataan YB Dr Dzulkifli (Ahli Parlimen Pas) sewaktu didalam rancangan Bicara Rakyat TV1 yang mana beliau memberikan jaminan bahawa penganjur mampu mengawal penyokong sewaktu perhimpunan BERSIH kelihatan agak lucu. Bagaimanakah pihak penganjur mampu mengawal lautan manusia yang pastinya berbeza latar belakang? Sepasang ibubapa sudah cukup sukar mengawal kelakuan anak-anaknya, apatah lagi lagi sejumlah lautan manusia yang berkenalan hanya atas nama BERSIH. Mungkin sikap optimis YB Dr Dzulkifli harus dipuji, namun pada masa yang sama beliau harus realistik dan melihat isu didalam konteks semasa. Kebimbangan ini lahir bukan sekadar teori diatas kertas, namun diatas reaksi balas pelbagai pihak yang menunjukkan sifat menentang perhimpunan ini. Mungkin benar, ada reaksi balas itu lebih berunsurkan sentimen politik, namun harus diingat juga, ada sebahagian tentangan itu juga hasil dari kejujuran sikap sendiri. Reaksi balas PERKASA dan Pemuda UMNO yang mahu juga menganjurkan perhimpunan balas pada hari yang sama sudah cukup menggetarkan hati. Apakah mungkin berlaku pertempuran diantara kedua pihak hasil dari provokasi bodoh mereka terbabit? Jika berlaku pertempuran, maka pihak Polis pastinya akan campur tangan bagi menangani situasi. Namun apa yang mampu dijangkakan pada keesokkan harinya, pastinya ada laporan yang menyebut bahawa pihak Polis telah bertindak kejam dan ganas untuk mengawal keadaan. Ini sudah menjadi seakan lumrah dosa yang sengaja mahu dipalitkan kepada pihak Polis lewat dewasa ini. Pastinya ada sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dengan cuba menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa. Ini suatu permainan yang cukup membimbangkan. Teori politik moden telah membuktikan, jika mahu menumbangkan sebuah kerajaan, maka imej pihak berkuasa seperti Polis perlu dihitamkan dengan dosa moral. Apa yang pasti, pertempuran itu; walau siapa yang memulakan hanya akan merugikan umat Islam semata kerana majoritinya merekalah yang bersemangat mahu berjuang kononnya atas nama jihad mengikut tafsiran mereka sendiri.

Menyedari kebimbangan sekian banyak implikasi negatif seperti yang telah disebutkan, maka cadangan telah diutarakan agar pihak penganjur BERSIH dan penentangnya mengadakan perhimpunan aman dikawasan yang tertutup dan kurang berisiko seperti didalam stadium. Namun sehingga kini, tiada reaksi positif mereka yang terbabit untuk mengalihkan tempat perhimpunan daripada jalanraya ke dalam kawasan stadium. Sebahagian mereka ada yang berhujah, jika berhimpun didalam stadium, maka objektif penganjuran perhimpunan BERSIH akan kelihatan sebagai kurang berjaya. Jika benar penganjuran perhimpunan BERSIH bermotifkan mahu menunjukkan sokongan rakyat terhadap isu yang diperjuangkan seperti pilihanraya yang bersih dan adil, maka hal seperti ini tidak sepatutnya menjadi isu. Jika mereka berjaya menghimpunkan sejumlah besar manusia didalam stadium yang mungkin mampu menempatkan ratusan ribu manusia dan mereka bersatu hati menyatakan pendirian yang sama didalam isu ini, maka percayalah bahawa ini merupakan satu kejayaan yang cukup besar dan signifikan terhadap penganjuran perhimpunan BERSIH. Alternatifnya sudah diberikan oleh pihak berkuasa, maka terpulanglah kepada budi bicara mereka untuk menilai mengikut neraca keadilan dengan melihat isu didalam konteks semasa. Persoalan yang timbul, apakah mereka sanggup meletakkan keamanan negara didalam keadaan yang berisiko untuk dicemarkan dengan insiden-insiden yang boleh menggugat keamanan negara hanya semata mahu melakukan mengikut cara yang mereka fikirkan benar?

Didalam kita sibuk meraikan semangat demokrasi dan kebebasan bersuara, kita jua harus sedar keterbatasan luang lingkup yang dinikmati itu. Manusia kini hidup didalam sistem politik yang dicipta oleh manusia itu sendiri yang pastinya terdedah kepada kecacatan. Oleh itu, kita harus melihat semangat demokrasi dan kebebasan bersuara didalam konteks Malaysia. Bukan sekadar hanya menyebut satu dua nama negara yang jelas berlainan lanskapnya. Sekali lagi ingin ditegaskan, matlamat penganjuran perhimpunan BERSIH itu amat baik, namun alangkah baiknya jika mereka kembali memikirkan kaedah pengurusan penganjurannya itu. 
 
Pena Politik Malaysia (PPM) merupakan suatu siri pengupasan isu politik yang berlangsung di Malaysia. Siri ini akan mengupas secara adil (insyaAllah) menurut kacamata penulis. Kelangsungan siri penulisan PPM bergantung kepada peri penting isu untuk diulas dan kelapangan pena penulis.
-ajimtajdid-



Wednesday, June 1, 2011

Lepaskan aku!

Cakaplah apa sahaja. Berikan sahaja aku pelbagai label, manusia ego, sombong, keras kepala, bodoh, atau manusia tidak kenang budi. Tetapi percayalah, sedikit pun ia tidak menggentarkan hati dan keyakinan aku. Biarlah manusia lain bercakap tentang apa yang mereka rasakan benar, aku tidak akan memaksa mereka menerima keputusan yang aku buat.

Perjalanan yang panjang dihadapan itu masih penuh dengan teka-teki, aku memilih jalan yang aku rasakan baik dan bermanfaat. Tertawalah, kerana aku tidak kisah! Masa depan bukan ada pada tangan kau!

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin