Saturday, August 29, 2009

Sistem MLM Islamik?

Deklarasi MLM Syariah HPA



*aku xgemar nak masuk sistem MLM.. oleh tu aku bukan aku nak promosi benda nie, aku hanya nak bagitau pada mereka yang gemar dgn sistem MLM nie.. mungkin sistem MLM HPA nie lebih baik dari sistem MLM yg ada di Mesia.. sekurang-kurangnya satu tanggungjawab besar utk menyediakan panel syariah sendiri telah terisi..

Monday, August 24, 2009

RAMADHAN: Batalkah jika...

Bulan yang penuh barakah telah tiba, maka berpusu manusia berusaha untuk meningkatkan amal ibadah mereka agar kerahmatan bulan ini tidak disia-siakan. Seluruh umat Islam wajib berpuasa pada bulan ini, namun telah berlaku sedikit salah faham mengenai beberapa perkara mengenai ibadah puasa ini. Berikut merupakan beberapa contoh perkara yang selalu disalah fahami berkenaan hukum hakam dalam ibadat puasa.

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

(petikan, Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika... oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

2. Menetapkan waktu imsak

Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.” (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 617 Kitab Azan).

Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.

(petikan, Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah, oleh Hafiz Firdaus Abdullah)

3. Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

(petikan, Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika... oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

Demikian beberapa contoh salah faham berserta penjelesan oleh Ustaz Zaharuddin dan juga Kapten Hafiz Firdaus Abdullah. Kita meraikan perbezaan dalam pandangan dan mempraktikkan amalan ibadah berdasarkan sumber dalil yang sahih dan benar. Mari tajdid cara fikir kita!

Saturday, August 15, 2009

Memahami pemikiran ahli politik...

Penulis cuba memahami beberapa cara fikir ahli politik di Malaysia ini, namun benar-benar membingungkan! Terdapat banyak pendirian ahli politik yang tidak istiqamah dan hanya perpandangan pada jalur pemikiran yang hanya akan menguntungkan parti politiknya.

1. Lilin yang membakar diri.












Ketika Ir Nizar Jamaludin (bekas MB Perak) memegang lilin bagi upacara memperingati mendiang Teoh Beng Hock, berlaku serangan hebat daripada media perdana. Media menimbulkan isu yang mana tindakan Ir Nizar ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak Islamik. Maka ada segelintir orang-orang PAS berhujah mempertahankan tindakan ini.


















Tidak lama selepas itu, muncul pula gambar seperti yang diatas. Datuk Seri Najib pula kelihatan sedang membakar lilin. Serangan daripada pihak pembangkang pula berterusan menghentam Najib. Perkara ajaib berlaku, media arus perdana mulai sepi terhadap isu 'bakar lilin'.

2. Replika gergasi yang tersembam ke bumi.




















Ketika replika gergasi Anwar Ibrahim didirikan di Batu Caves, ia menjadi isu hangat kerana ada yang menganggap ia seakan patung berhala. Isu ini semakin menjadi panas apabila SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin (ketika itu Mufti Perlis) menyatakan terdapat unsur berlebih-lebihan dan terlalu memuja pemimpin. Ahli parti PKR sebahagiannya menzahirkan perasaan tidak bersetuju terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Asri.




















Kini, hal yang sama berlaku pada Datu Seri Najib. Replika gergasi versi Najib juga dibangunkan di Batu Caves. Pemimpin PKR iaitu YB Adun Batu Caves, Amirudin Shari menempelak Dr Asri dan pemimpin UMNO kerana disifatkannya 'bising bagai nak rak' terhadap replika Anwar Ibrahim, tetapi senyap apabila hal yang sama berlaku pada replika Najib. Dr Asri menjawab dalam laman blognya (www.drmaza.com), beliau tetap konsisten terhadap isu ini. Memetik kata-kata dari laman blognya, 'Saya konsisten menyatakan seperti mana replika DS Anwar tidak patut didirikan, maka begitu juga replika DS Najib. Selain daripada ia berunsur berlebih-lebihan memuja pemimpin atau mengampu, ia juga tidak memberikan apa-apa kekuatan kepada politik seseorang.'

Kesimpulan:
1. Politikus yang tidak matang hanya akan memandang sesuatu isu itu pada sudut yang hanya akan menguntungkan partinya. Apabila ada isu yang cuba menggugat partinya, maka bermatianlah dia mempertahankannya. Benar atau salah, baginya itu perkara kedua. Survival partinya harus dipertahankannya!

2. Pandangan dari sudut agama seringkali dipandang enteng, malah ada yang mempertikaikan pandangan itu hanya kerana tidak memberikan keuntungan pada parti politiknya. Namun, jika pandangan agama itu menghentam parti lawannya, maka bermatian juga pandangan itu digunakan untuk menyerang lawannya.

3. Jika sesuatu hal itu menjadi salah dan tidak betul pada parti lawan, hal ajaib akan berlaku dimana ia secara tiba-tiba menjadi betul dan benar jika berlaku pada partinya.

4. Pemikiran sampah ahli politik ini perlu kepada usaha tajdid fikir. Berfikir berlandasan fakta dan kebenaran, bukan atas sentimen parti atau jemaah. Jika sesuatu hal menjadi salah pada parti lawan, maka kita perlu berani juga untuk menyatakan hal yang sama jika terjadi pada parti sendiri.

* Jari aku xdapat menahan dari menulis kat blog nie, walaupun keje menimbun dgn gamaknya.. haha.

Friday, August 14, 2009

RAMADHAN: Pahala mengatasi para Nabi?


Seringkali bulan Ramadhan, pastinya ada diantara kita yang pernah membaca atau melibat edaran-edaran kelebihan berterawikh pada setiap malam. Kebanyakkannya ia ditampal di masjid dan di juga surau-surau. Hakikatnya ia palsu. Mungkin sudah ada mengetahui tentang hal ini, namun mungkin masih ada yang terlepas pandang. Berikut merupakan contoh beberapa fadhilat yang sering kali kita lihat:

Malam Pertama:
Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam Ke 2:
Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam Ke 3:
Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy’ supaya kami meneruskan sembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

.....
.....
.....

Malam Ke 16:
Allahsubhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam Ke 17:
Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam Ke 18:
Seru Malaikat: Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam Ke 19:
Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam Ke 20:
Allah kurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

.......
.......
.......

Malam Ke 28:
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

Malam Ke 29:
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam Ke 30:
Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: “Hai hambaKu: Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar”.

Kita selalu berlebih-lebihan dalam menyatakan sesuatu, contohnya seperti kelebihan fadhilat ini. Mungkin pembuat hal ini ingin menggalakkan umat Islam agar bersolat terawikh, namun hakikatnya ia telah merosakkan imej Islam. Jika kita lihat fadhilat malam ke-17, 'Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.' Jika benar begitu, bermakna pahala bagi umat Nabi Muhammad yang berterawikh pada malam itu selama dua bulan Ramadhan akan melebihi pahala bagi sekelian para nabi. Apakah benar dan logik jika difikirkan? Beramallah dengan rujukan dari sumber yang sahih dan dipercayai.

Ulasan terhadap kepalsuan fadhilat ini boleh dirujuk pada link ini:

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH: Mufti Terengganu


Wednesday, August 12, 2009

SEMINAR PENGHAYATAN RAMADHAN 1430H/2009M

Agenda Program

8:00 –9:00 pagi Pendaftaran

9:00 –9:45 pagi Kesan Puasa Terhadap Pembentukan Peribadi Muslim

Ustaz Zaidi Muhammad Jalil

Timbalan Yang-Dipertua ISMA Melaka

Pengajar MRSM Alor Gajah

9:50 – 10:20 pagi Pembukaan & Perasmian Majlis

10:20-10:35 pagi Persembahan Nasyid

10.40-11.10pagi Minum Pagi

11:15-12:15 tghari Fiqh Ramadhan

Ust Ahmad Zainal Abidin,

Yang-Dipertua ISMA Melaka

Pensyarah, Universiti Multimedia Melaka

12:15-1.15 tghari Soal-jawab Isu Ramadhan

1:15-1.30 ptg Majlis Penutup

1.30 petang Solat Zuhur dan bersurai.

Saturday, August 1, 2009

TAJDID: Versi mudah faham....

Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, berikut merupakan ulasan penulis.

1. Secara mudah, tajdid membawa maksud baru. Tapi bukan baru yang tiada asal, tetapi baru yang kembali kepada asal. Dalam erti kata yang lain, ia merupakan satu usaha untuk mengembalikan sesuatu kepada wajah asalnya.

2. Tajdid berlaku dalam banyak bidang, ada yang melakukan dalam lapangan agama, politik dan juga pemikiran.

3. Tajdid dalam bidang agama berlaku seperti berikut:

a. Apabila berlaku unsur-unsur yang tidak islamik dalam masyarakat islam. Contohnya, dahulu masyarakat melayu seringkali menganggap bulan Safar sebagai bulan sial atau malang sehingga ada upacara mandi safar kerana kononnya untuk membuang bala. Walhal imej asal Islam tidak begitu, tiada istilah atau ada wujudnya hal yang seperti itu. Pembetulan salah faham ini merupakan satu proses tajdid dalam bidang agama.

b. Tajdid juga berlaku apabila ada usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang beramal berdasarkan dalil dan nas yang sahih. Kebiasaan masyarakat Melayu beramal berdasarkan apa yang diwarisi dan apa difahami daripada ibubapa mereka. Agak sukar untuk mereka menilai kembali apa yang dilakukan itu ada dalilnya didalam agama atau hanya sekadar adat Melayu semata.

4. Tajdid dalam bidang politik adalah seperti berikut:

a. Orang politik di Malaysia terlalu banyak yang berpolitik berdasarkan politik kepartian. Contohnya, jika si A penyokong parti UMNO, maka apa sahaja yang dilakukan oleh pihak PAS akan menjadi salah dari sudut kaca matanya. Begitu juga yang berlaku sebaliknya. Tajdid politik adalah membentuk kefahaman yang mana berpolitik bukan berdasarkan lambang parti, tetapi berpolitik atas fakta dan kebenaran. Contoh terbaik adalah YB Zulkifi Noordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu. Beliau tetap mengkritik kepimpinan partinya sendiri apabila ia dapati bersalahan dengan prinsip yang beliau pegang iaitu Islam yang teratas. Parti itu alat, Islam itu matlamat.

b. Maki hamun dan cacian merupakan makanan ahli politik di Malaysia. Kisah-kisah peribadi musuh politik juga diaibkan dan dijaja dengan meluas. Sikap ahli politik ini merupakan antara longgokkan sampah yang perlu kepada usaha tajdid. Ahli politik jika pun berbeza idea dan pandangan, ia harus mengkritik secara ilmiah. Bukan dengan sikap yang emosi, kemudian memaki musuh politiknya. Politik yang asal adalah politik yang mempunyai usaha ke arah membangunkan masyarakat dan memajukan ekonomi, bukan politik yang hanya melahirkan lebih banyak longgokkan sampah pemikiran dan penipuan.

5. Tajdid dalam bidang pemikiran berlaku seperti berikut:

a. Kita jarang membenarkan sikap menerima kepelbagaian dalam pemikiran. Kita suka membiarkan diri dengan apa yang sudah ada sedia diwarisi. Kita akan menolak idea-idea pembaharuan yang mana membawa kepada kerencaman pemikiran. Idea-idea pembaharuan (tajdid) tidak semestinya bercanggah dengan Islam, banyak idea-idea yang lahir mampu memberikan imej yang lebih moden dan segar kepada agama Islam tanpa mengorbankan keaslian agama itu sendiri.

b. Apabila kita menerima sesuatu perkhabaran, jangan secara mudah kita menerimanya, hatta perkara dalam perkara agama sekali pun, kerana bukan semua cerita yang disampaikan itu benar. Kita berhak bertanya, apakah sumber cerita yang disampaikan? Sejauh mana kebenarannya?

Cadangan:

Menonton Forum Gerakan Tajdid Satu Perbincangan, Dr MAZA vs Astora Jabat.

Kesimpulan:

1. Apa yang ditulis berdasarkan apa yang penulis faham, ia terbuka untuk menjadi benar dan salah.

2. Penulis hanya bertindak untuk menyampaikan. Penerimaan itu terpulang kepada individu.

3. Menulis seperti ini bukan bermakna penulis seorang yang baik, berakhlak mulia, berbudi pekerti, apatah lagi seorang yang pandai agama.

4. Penulis mengambil risiko menulis hal seperti ini, mungkin ada yang menganggap penulis ‘poyo’, berlagak bagus, atau hipokrit.

5. Jika terlalu memikirkan apa yang orang lain kata, maka kita tidak akan bergerak ke mana-mana.

* Satu ag tulisan yg serius.. letih dah nak nulis, aku nak break jap.. assignment, project, PSM.. banyak nak kena wat nie.. adoyai.. my last posting.. huhu..

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin