Friday, January 29, 2010

HARAP

Kita berharap orang lain memahami diri kita..
Orang lain juga berharap kita memahami mereka..
Tapi kita hanya mampu menjadi insan yang berharap..
Kerana tiada siapa pun yang mampu memahami setiap manusia..
Kecuali Dia... ya, Dia..

Kita berharap orang lain sudi menerima teguran kita..
Orang lain juga berharap kita sudi menerima saran kritik mereka..
Namun kita adalah kita, kadang kala terasa membenci pada nasihat...
Acap kali memusuhi kalimat..

Kepada Dia juga kita berharap.. Ya, kita berharap..

Wednesday, January 27, 2010

Memelayukan Melayu


1. Orang Melayu sudah memiliki standardnya sendiri. Ia merupakan satu bentuk penjenamaan yang dipaksa agar sinonim dengan orang Melayu. Gerak kerja penjenamaan ini dilakukan oleh banyak pihak, Melayu itu sendiri turut terlibat. Apakah bentuk jenama yang telah disinonimkan dengan Melayu? MALAS, KURANG CERDIK, dan TIDAK MENEPATI MASA.

2. Orang Melayu seringkali melihat orang Melayu yang lain sebagai panduan, kemudian menjadikan ia seolah satu tanda aras yang perlu diikuti. Contoh situasi:

i. Janji Melayu: Orang Melayu (tidak semua) beranggapan, tidak menepati masa itu sudah menjadi hal yang biasa. Jika berjanji pukul 8.00 pagi, maka waktu sebenar janji itu adalah 8.30 pagi, bahkan mungkin lebih melewati 9.00 pagi. Bila ada Melayu 'lain' yang menepati masa, maka terkulai-kulailah dia menunggu. Maka Melayu 'lain' itu pun menjadi Melayu yang telah disinonimkan.

ii. Malas: Suatu yang jenama yang paling berjaya. Kaum bukan Melayu juga mengenali jenama ini telah disinonimkan dengan orang Melayu. Orang Melayu ada tahap kerajinannya, ia jarang melebihi kaum lain. Jika Melayu 'lain' miliki sifat rajin luar biasa, maka mudahnya dia dituduh poyo, berlagak bagus, dan tunjuk baik. Oleh itu, agar kelihatan sama dengan Melayu, Melayu 'lain' itu pun menjadi Melayu yang telah disinonimkan.

iii. Mahu contoh lagi? Fikir sendiri.

3. Penjenamaan ini seolah-olah sudah menjadi 'Dosa Warisan' kepada orang Melayu. Hampir setiap orang Melayu ingin dipandang sifatnya seperti mana yang disebutkan diatas. Barangkali, bayi kecil Melayu yang baru lahir itu juga sudah mewarisi dosa ini. Namun, benarkah begitu?

4. Tidak, tidak benar sama sekali. Sebenarnya, ramai yang tidak sedar tentang penipuan idea ini. Penjenamaan Melayu dengan sifat-sifat ini telah dipaksakan tersemat didalam minda orang Melayu sejak dulu lagi. Ia seolah-olah menyatakan setiap orang Melayu wajib bersifat begitu. Duka cita, ada sebahagian Melayu yang bersenang hati menerima, katanya ini hakikat. Hakikat apa yang dia telah dipaksa untuk menerima sejak dahulu lagi.

5. Setiap orang itu membentuk nilai sendiri dalam sikapnya. Malas atau tidak menepati janji itu tidak lahir dari keturunan atau bangsa. Ini bukan agama Kristian yang memiliki dosa warisan! Orang Melayu, jika ingin meletakkan standard harus melihat pada nilai yang tinggi. Bukan pada ukuran yang buruk, kemudian bersenang-senang menerima. Lebih buruk, apabila ada Melayu 'lain' yang miliki sifat yang lain, ia ditentang dan diperlekeh.

6. Orang Melayu harus melihat diri sendiri dalam membentuk sikap dan prinsip. Mari bertanya secara jujur pada hati kecil yang sering kita padamkan cakap-cakapnya, apakah benar kita menerima penjenamaan Melayu sedia ada itu? Ataupun sebenarnya kita menafikan, namun kalut untuk menongkah arus menyatakan hal itu tiada kaitan dengan kaum atau bangsa. Ia tentang persoalan sikap! Ya, sikap individu itu sendiri!

7. Kita jangan terperangkap atas jenama ini. Penjenamaan yang telah memelayukan Melayu. Sekian lama orang Melayu berfikir atas kapasiti jenama ini dan ia telah memenjarakan pemikiran. Orang Melayu harus menjenamakan dirinya atas kapasiti individu, bukan bangsa semata. Orang Melayu harus memandang potensi diri, bukan mendengar apa yang orang lain kata dan khabarkan tentang mitos jenama Melayu.

8. Ini nasihat buat diriku dan buat orang yang suka mengambil manfaat.

Sunday, January 17, 2010

Konvensyen Mahasiswa Melayu 2010


1. Pada 2 jan 2010 yang lalu, penulis berkesempatan pergi ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama rakan-rakan GPMS UTeM (penulis bukan ahli GPMS) menghadiri sebuah wacana ilmu yang membincangkan nasib mahasiswa Melayu di universiti. Konvensyen ini telah dianjurkan oleh GPMS UMT dengan jayanya.

2. Beberapa panel dijemput bagi memberikan buah pandang terhadap isu mahasiswa Melayu, antaranya ialah Prof Madya Datuk Dr Ahmad Faiz (Pencapaian Mahasiswa Melayu: Satu Tinjauan), YB Dato' Ibrahim Ali (Politik Mahasiswa: Kemana Arahnya?) dan Tun Dr Mahathir (Mahasiswa Melayu: Cabaran dan Masa Depan).


3. Biar pun tumpuan pastinya diberikan pada ucapan dan idea Tun Dr Mahathir, namun penulis lebih tertarik dengan isi ucapan perkongsian pengalaman YB Ibrahim Ali semasa beliau menjadi pemimpin Mahasiswa ITM (kini UiTM). Intipati cerita pengalaman beliau sangat mengesankan, terutamanya apabila dia berusaha memperjuangkan hak pelajar dan rakyat walaupun sehingga mengorbankan beberapa tahun kebebasannya.

4. Berikut merupakan beberapa intipati teks ucapannya:
" Saya anjurkan demonstrasi itu untuk menuntut kerajaan supaya menaikkan taraf ITM jadi sebuah universiti............. Tun Dr Mahathir Mohammad akhirnya mengisytiharkan kenaikan taraf ITM jadi UiTM........."

"Kami bersuara, kami mengkritik, dan kami membuat tuntutan demi tuntutan, atas kehendak dan kesedaran seluruh warga pelajar. Kami bertindak menentang kerajaan bukan kerana kami jadi boneka kepada sesiapa. Kami membangkang, menentang dan buat tuntutan tertentu, semata-mata demi kepentingan seluruh pelajar yang kami wakili."

"walaupun perjuangan kami konservatif, perjuangan kami ada maruah, perjuangan kami ada prinsip, perjuangan kami ada wibawa."

"saya beranggapan bahawa corak perjuangan mahasiswa Islam Malaysia ketika ini sudah jadi ideology-based atau bertukar menjadi perjuangan yang berasaskan ideologi siasah luar kampus........... Kalau benar persepsi ini, pastinya ia amat merugikan kita semua sebagai umat Islam dan pendukung kepimpinan perjuangan Islam"
Sedikit petikan ini penulis fikir menjadi motivasi bagi sebahagian mahasiswa agar menjadi lebih radikal dan agresif dalam mempertahankan hak dan kebenaran. Untuk mendapatkan teks ucapan penuh YB Dato' Ibrahim Ali, sila klik disini: Download

5. Penulis secara peribadi memang tidak menggemari Dato' Ibrahim Ali, tetapi tetap harus di akui peranan dan sumbangan besarnya terhadap pembangunan umat Islam dinegara ini.

Tuesday, January 12, 2010

Isu nama Allah 2



Sumber gambar YB Zul4kulim

1. Anda keliru tatkala membaca petikan di atas? Adakah kefahaman akidah Islam anda telah terjejas?

2. Jika fahaman akidah Islam anda tidak terjejas walaupun sedikit, ini bermakna anda mempunyai kefahaman akidah Islam yang jelas dan utuh. Mungkin anda telah menghayati dengan penuh firman Allah dalam surah Al-Ikhlas.

3. Jika anda keliru, dan mula meragui akidah Islam anda, maka ada suatu kelemahan yang perlu diperbaiki. Isu akidah merupakan perkara fundamental yang perlu dipegang utuh oleh setiap orang Islam.

4. Penulis yakin, terdapat dua kelompok orang Islam di Malaysia yang mempunyai ciri seperti di atas. Kelompok yang merasakan akidah mereka tidak terjejas, pastinya tiada halangan terhadap isu penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian. Manakala kelompok yang lain, mungkin beranggapan ia bermasalah.

5. Penulis masih tidak tahu, membenarkan nama Allah digunakan oleh penganut Kristian lebih membawa manfaat atau mudharat. Tetapi, Allah itu lebih tahu!

Friday, January 8, 2010

Isu nama Allah


1. Keputusan mahkamah membenarkan mingguan Herald menggunakan nama Allah dalam penerbitan menimbulkan pelbagai reaksi, ada yang positif, dan ada juga yang negatif. Maka timbul pula persoalan, bolehkan penganut agama lain menggunakan nama Allah apabila merujuk kepada tuhan terutamanya bagi penganut agama Kristian.

2. Mengikut pandangan beberapa orang ulama', kelihatan Islam tiada masalah dalam pengunaan nama Allah bagi penganut agama Kristian. Antara sandaran nasnya ialah:

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).
Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili, Tokoh Maal Hijrah 1429H berpandangan bahawa penggunaan nama "Allah" adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism. Bekas Mufti Perlis, Dr MAZA juga memberikan respons yang hampir serupa, namun meletakkan beberapa garis panduan terhadap penggunaan nama Allah agar ia tidak disalah guna. Laman web IslamToday (seliaan Sheikh Salman Al-Aodah) juga memberikan komentar mengulas isu ini.

3. Tetapi, dari sudut kesesuaian perlaksanan di Malaysia, kelihatan penggunaan nama Allah ini sedikit membawa implikasi yang agak negatif dari sudut pemahaman agama. Ustaz Zaharuddin memberikan alasan seperti ini:

"Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang."
Beliau juga mempertikaikan, mengapa hanya di Malaysia, Indonesia, Mesir dan negara Arab sahaja nama Allah diperjuangkan oleh penganut agama Kristian, tetapi tidak pula di negara-negara majoriti penduduknya beragama Kristian. Fakta ini dapat dilihat melalui filem-filem Hollywood yang hanya menggunakan istilah Lord dan God sahaja apabila merujuk kepada tuhan.

Gambar ehsan Malaysiakini

4. Isu ini memasuki fasa baru apabila berlaku serangan ke atas beberapa rumah ibadat milik penganut agama Kristian di sekitar negeri Selangor. Majoriti pemimpin politik dan agama mengutuk perbuatan ini sambil menyifatkan ia pertentangan dengan prinsip Islam. Kejadian ini berlaku beberapa jam sebelum perhimpunan umat Islam selepas solat jumaat berlangsung bagi membantah penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian.

ULASAN PENULIS:

1. Menjadi tabiat negara berbilang bangsa dan agama, isu seperti ini sememangnya menjadi sesuatu yang boleh dijangkakan akan berlaku.

2. Rentetan daripada semua hal yang telah berlaku, dialog atau perbincangan secara serius perlu dibuat membabitkan kepimpinan tertinggi politik dan agama di antara penganut agama Islam dan juga Kristian bagi mencari solusi terhadap isu nama Allah. Ruang toleransi perlu diwujudkan agar situasi 'win-win' dalam diterjemahkan dalam ruang lingkup yang dibenarkan.

3. Sebagai seorang Islam, kita perlu profesional dan rasional apabila berhadapan dengan isu ini. Sewajarnya jika kita ingin membantah terhadap sesuatu perkara, kita perlu menggunakan ruang lingkup yang dibenarkan mengikut lunas agama dan undang-undang. Apabila isu itu melibatkan perundangan, maka kita juga perlu menggunakan saluran undang-undang. Sikap yang tidak rasional dan emosional tidak benyak membantu menyelesaikan masalah, bahkan ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Himpunan aman di Masjid MITC, Melaka

4. Dalam ruang negara demokrasi, hak berhimpun secara aman dan bersuara memang ada. Menurut The Universal Declaration of Human Rights, dalam artikel 20 (1) menyatakan bahawa 'Everyone has the right to freedom of peaceful assembly and association.’

5. Politikus jangan hanya pandai berpolitik apabila mengambil kesempatan di atas isu ini dengan menunjukkan siapa jaguh kaum atau agama masing-masing. Ahli politik perlu berperanan sebagai orang yang mententeramkan keadaan dan melihat isu ini dalam konteks Malaysia, bukan pula berfikir tentang sokongan yang bakal diperoleh apabila memperjuangkan mana-mana pihak.

6. Di Melaka, khutbah jumaatnya (8/1/10) berkisar tentang Zakat. Tatkala umat sedang kalut tentang nama Allah, khutbahnya sibuk membicarakan soal duit. Ya, duit Zakat!

7. Dalam keriuhan negara membincangkan isu nama Allah, jangan pula kita terlupa tentang isu-isu lain seperti kehilangan enjin pesawat dan kenaikan harga gula. Isu kehilangan enjin benar-benar mencalarkan kredibiliti Kementerian Pertahanan Malaysia apabila ia memperlihatkan betapa keselamatan negara begitu mudah diniagakan!

8. Barisan Nasional harus bijak menangani isu ini. Kebanyakkan penganut agama Kristian berada di Sarawak dan Sabah, negeri yang menjadi benteng terakhir BN dalam pilihanraya 2008 dan mungkin juga pada PRU-13. Penulis ternanti-nanti tindakan DS Najib menangani hal ini.

9. Jadilah manusia yang rasional dengan bertindak atas nama ilmu, fakta, dan menggambarkan anda sebagai seorang Islam.

Sunday, January 3, 2010

FACEBOOK


1. Ya, memang penulis sudah memadamkan akaun laman sosial iaitu facebook dan juga friendster.

2. Alasan penulis? Bukan kerana pemilikan facebook oleh orang yahudi, ia langsung tiada kaitan. Begitu juga kononnya azam baru penulis, juga langsung tiada kaitan.

3. Kepada mereka yang masih berfacebooking, anda bebas untuk terus berlaman sosial atas kapasiti tanggungjawab sendiri.

Friday, January 1, 2010

Ancaman Gerakan Zionis





Penulis mencadangkan pembaca agar membaca penulisan asal yang lebih lengkap tanpa sebarang proses edit. Sila rujuk pada link dibawah:

1. Bercakap dengan ZIONIS (siri 1)
2. Bercakap dengan ZIONIS (siri 2)
3. Bercakap dengan ZIONIS (siri 3)

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin