Sunday, September 30, 2012

Merasionalkan Kisah Ajaib Dalam Agama

Dalam mana-mana sejarah agama dunia, unsur mistik dan keajaiban memang tidak dapat dinafikan. Setiap agama di dalam dunia miliki nilai dan unsur yang boleh dianggap sebagai kesaktian sebagai bukti kehebatan dan kebenaran agama tersebut. Secara umumnya, unsur mistik dan ajaib yang dimaksudkan ialah situasi, keadaan atau kebolehan luar biasa yang tidak mampu dimiliki oleh manusia normal dan tidak mungkin berlaku menurut logik pemikiran manusia. Namun kadang kala, keajaiban yang disangka ajaib itu hanyalah sebahagian daripada kedangkalan ilmu manusia yang masih belum mampu memahami logik alam ini.



Agama Islam sebagai agama yang ke dua terbesar di dunia juga pastinya memiliki kisah-kisah yang boleh dikaitkan dengan unsur mistik dan ajaib. Sesetengah hal itu sudah menjadi perkara yang mendasar dalam pegangan hidup beragama. Kisah-kisah yang sudah disepakati itu tidak menjadi masalah, namun kewujudan cerita-cerita moden baharu dan cuba disandarkan pada Islam dewasa ini menimbulkan satu polemik di dalam kehidupan Muslim. Cerita-cerita ini begitu cepat tersebar dan menjadi ‘viral’ di dalam laman sosial seperti facebook dan juga youtube. Kegopohan sebahagian umat Islam yang menyebarkan cerita-cerita ini tanpa berfikir panjang menyebabkan berlaku salah faham dan dalam banyak keadaan boleh mencemarkan imej agama Islam itu sendiri. 

Antara cerita-cerita ajaib sensasi yang kerap berlegar di dalam dunia orang Islam ialah tentang kewujudan tanda atau lambang-lambang yang menunjukkan kalimah Allah atau Muhammad. Kita sering kali mendengar cerita tentang bagaimana nama Allah dan Muhammad terukir di awan, tumbuhan dan haiwan. Semua ‘keajaiban’ ini didakwa merupakan kebesaran kuasa Allah dan membuktikan kebenaran agama Islam. Namun, adakah benar kita mahu memahami agama dengan kisah-kisah keajaiban seperti ini? Adakah kita mahu mempromosikan agama rahmat ini kepada non-muslim dengan hal-hal seperti  ini? Memang tidak dinafikan, unsur sebegini mampu menarik perhatian masyarakat. Tetapi sebagai umat Islam yang berfikir panjang dan rasional, pastinya kita tidak akan menjadikan ini sebagai hujah utama apabila berdakwah kepada mereka. Sifirnya mudah, jika kita menganggap kemunculan kalimah yang mirip kepada nama Allah itu sebagai bukti kebenaran Islam, bagaimanakah pula kita mahu menjawab kepada masyarakat Islam dan bukan Islam jika ada pula tanda atau lambang yang muncul mirip kepada lambang salib? Hal ini tidak mustahil, seperti mana tidak mustahil berlaku kepada nama Allah dan juga Muhammad.

Seni silat amat sinonim dengan orang Melayu. Pelbagai jenis cabang silat telah wujud dan ia merupakan antara khazanah berharga yang dimiliki oleh orang Melayu. Disebabkan Melayu itu amat sinonim dengan Islam, maka setiap budaya Melayu yang ada ingin dikaitkan dengan agama Islam. Seni silat tidak terlepas dengan hal ini. Ada sebahagian seni silat Melayu yang mendakwa mampu memberikan seribu keajaiban seperti kekebalan dengan mendakwa menggunakan bacaan al-Quran dan kaedah Islam. Hal ini amat melucukan. Jika benar hal kebal ini wujud di dalam Islam, mengapakah Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak mempraktikkan ‘khazanah berharga’ ini semasa baginda berhadapan dengan masyarakat Arab jahiliah? Walhal sepanjang sejarah dakwah Nabi, baginda pernah cedera dan betapa ramai sahabat baginda syahid di medan perang. Duka cita sebahagian masyarakat Melayu terlalu taksub dan percaya dengan cerita-cerita mitos begini sehingga sanggup menyalah guna nama agama untuk menghalalkan tindakan yang jelas tidak ada kaitan dengan agama. 

Air jampi merupakan salah satu bentuk perubatan yang ada di dalam Islam. Hal ini pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Namun air jampi kini sudah mengalami revolusi besar, penggunaannya sudah melebihi daripada kadar yang sepatutnya. Sudah menjadi satu kebiasaan masyarakat Melayu, jika anak mereka menghadapi peperiksaan besar, mereka akan membaca surah Yaasin pada air dan berharapan anak mereka akan cemerlang pada hari peperiksaan jika minum air tersebut. Tetapi, hasil yang berlaku sebaliknya. Anak-anak masyarakat Cina lebih ramai yang berjaya di dalam pelajaran walaupun mereka tidak minum sebarang air jampi. Untuk Berjaya dalam pelajaran, kita memerlukan segenap usaha dan kerajinan, bukan hanya seminggu dua ulang kali dan selebihnya bergantung kepada keajaiban air jampi. Ada juga cerita-cerita mitos yang berlegar di kalangan masyarakat tentang air holy water yang mampu menjadikan seseorang itu murtad jika meminumnya kerana tidak akan mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah selepas itu. Jika dakwaan ini benar, pastinya pendakwah-pendakwah Kristian akan memberikan begitu banyak air ajaib ini secara percuma di seluruh dunia dan menjadikan semua umat Islam murtad. Ini bukan dunia komik. Tidak ada air di dalam dunia yang mampu untuk mengubah keyakinan seseorang dalam beragama. Jika ada air yang mampu mengubah akidah seseorang, pastinya Nabi Muhammad S.A.W adalah orang yang pertama melakukannya dengan menjampi telaga zam-zam dan menjadikan seluruh masyarakat Arab jahiliah menganut agama Islam. Hal itu tidak berlaku dan tidak akan berlaku.       

Cetusan ini bukan bermaksud mahu menafikan secara mutlak kewujudan kisah-kisah ‘ajaib’ di dalam Islam, tetapi lebih kepada mengajak pembaca menjadi penganut agama Islam yang rasional di dalam beragama. Islam bukanlah agama yang berdiri dengan kisah-kisah ajaib semata, jika ada pun ia hanyalah merupakan kisah sampingan dan bukan perkara utama. Islam berdiri dengan hujah dan fakta yang rasional. Jadilah Muslim yang menyebarkan agama Islam dengan rasa cinta yang betul, bukan dengan sangkaan sahaja. Bukan semua kisah agama yang kita dengar itu benar, tapislah ia dengan ilmu. Jika air minuman kita boleh memilih untuk yang bertapis sahaja, mengapa pula tidak dengan kisah agama?

Saturday, September 22, 2012

Keluhan 2

Aku berjaya membuat kiriman pertama novelet yang aku rancang lama dulu. Heh!

Disebabkan ini adalah novelet, maka konsepnya seakan-akan novel namun ia akan menjadi lebih pendek dan ringkas. Aku tak ada idea menulis berjelar-jelar. Risau ia menjadi panjang, namun kosong. Aku merancang untuk mengeluarkan kiriman terbaharu selewat-lewatnya sebulan sekali [Tolong bookmark kata-kata aku ni!]

Oh Tuhan, moga usaha hambaMu ini beroleh kejayaan!

Senafas Langkah: Prolog 1

         Hujan masih belum mahu berhenti. Renyai-renyai ia turun umpama irama lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sekejap rancak, sekejap mendayu-dayu. Bunyi hujan itu, walau tidak sampai ke dalam ruang menunggu, namun masih jelas terasa kehadirannya. Mungkin kerana suhu di dalam ruang menunggu lebih sejuk daripada kebiasaannya. Dalam ribuan manusia yang sedang berpusu-pusu bergerak menuju dan mencari destinasi penerbangan mereka, kelihatan susuk tubuh berwajah Melayu sedang duduk termenung. Pandangannya tawar. Susuk tubuh itu masih setia menanti, kadang kala dia memandang ke kiri dan ke kanan. Dia tidak pernah menyangka, pemandangan ini sudah tidak asing lagi buat dirinya.



“Abang, kenapa tak di makan roti tu?”

Suara wanita menyapa dari belakang. Perlahan-lahan dia menoleh, melihat wajah isterinya yang baru kembali  dari restroom.  

“Roti ni tak sedap. Tak sesedap masakan isteri abang”

Tersenyum wanita bernama Siti Saleha mendengar usikan jawapan daripada suaminya. Segera dia melabuhkan punggung untuk duduk di sebelah suaminya. Diambil tangan suaminya dan di usap-usap keduanya. Terasa kehangatan haba rindu dan gelisah. 

“Abang, dah lama kita tak pulang ke Malaysia kan? Dah lebih tujuh tahun rasanya. Abang rasa, kita sesat tak bila sampai Malaysia nanti?” gurau Siti Saleha mahu mengambil hati suaminya. Naem hanya tersenyum. Lama dia melihat wajah isterinya. 

“Kalau tersesat, apa guna kita beli Papago ni?” Berdekah-dekah mereka berdua tertawa. 

Sekeliling mereka dipenuhi oleh segerombolan manusia yang sibuk dengan hal masing-masing. Pemandangannya hampir sama sahaja setiap hari. Semua wanitanya berjubah labuh dan majoritinya mengenakan warna hitam sebagai tema. Kadang kala Naem tergelak sendiri apabila cuba membayangkan jika dia menjadi wanita di negara ini, entah dia mampu bertahan dengan pakaian sedemikian rupa. Namun, tiada siapa pun yang ambil peduli tentang kehadiran mereka berdua. Mungkin kerana tiada seorang pun yang faham bahasa Melayu di situ.   

“Sayang, laptop abang sayang bawa kan?” soal Naem pendek.

Yes, of course dear. Ada kat sini.” Siti Saleha mengeluarkan computer riba dari beg bimbit yang terletak di sebelahnya. 

“Abang nak buat apa? Nak check email ke?” soal Siti Salehah sambil menghulurkan komputer riba kepada suaminya. Siti Salehah memandang sahaja tingkah laku Naem yang tidak berjawab. Namun dia membuat telahan sendiri.  

Check email office ke abang sayang oi?” sindir Siti Saleha.

“Taklah sayang. Abang nak check draft ucapan untuk majlis perasmian Pusat Intelek Muslim nanti. Abang takut nanti bila dah sampai Malaysia, terlupa pula nak double check. Sementara masa senggang ni. Lagi pun abang dah lama tak buat public speaking ni, masa zaman universiti dulu selalulah.” Ujar Naem lembut. Saleha hanya mengangguk faham. Tersenyum dia melihat suaminya yang menjawab soalannya tanpa menoleh ke arahnya. Khusyuk sungguh dia!

Perjalanan masih lagi panjang walaupun belum bermula. Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur pada 2.00 pagi. Sekarang jam baru menunjukkan pukul 10.00 malam. Masih berbaki 4 jam lagi. Memang sudah menjadi tabiat mereka untuk bersiap awal, walaupun kadang kala terlebih awal. 

Akhirnya, Naem selesai menyemak draf ucapannya. Dia terlupa untuk memberikan ucapan penghargaan pada bahagian penutup. Nasib baik isterinya ada untuk menegur. ‘Masyarakat yang baik adalah masyarakat sentiasa mengenang jasa setiap orang yang menyumbang ke arah kebaikan, tidak kiralah sama ada kecil atau besar nilaian itu di mata manusia. Apa yang penting keikhlasan, namun itu hanyalah ukuran Tuhan untuk menilainya.’ Kata-kata ini sentiasa tersemat di dalam dada Naem, di ucapkan oleh guru kesayangannya.

Siti Saleha sudah tersandar di bahu Naem tertidur. Walaupun rapi dia mengenakan niqab menutup sebahagian besar wajahnya, namun kelembutan isterinya meredupkan wajah Naem yang melihatnya. Perlahan-lahan Naem membetulkan sandaran isterinya agar duduk betul di ribanya. Dia lakukan dengan penuh berhati-hati, takut benar dia isterinya akan terjaga. Selesai dia membetulkan sandaran isterinya, dia menyandar ke belakang kerusi. Kepalanya di dongakkan ke atas. Di melihat bumbung itu dengan penuh hairan. Sudah berpuluh kali dia menggunakan lapangan terbang ini, tetapi ini baru pertama kali dia melihat secara teliti reka bentuk bumbung lapangan ini. Tersenyum sendiri dia. 

Bersambung.....

Tuesday, September 11, 2012

Keluhan

Aku berkira-kira untuk menulis buku, novel dan skrip filem. Aku masih bermimpi. Terlalu banyak mimpi kadang kala sukar untuk terjaga. Tolong sedarkan aku tentang erti kerajinan dan usaha!

Saturday, September 8, 2012

Budaya Kritik dan Kritis

Semenjak Pilihanraya Umum ke -12 berlangsung, budaya kritik dan kritis semakin membugar dalam masyarakat kita di Malaysia. Keterbukaan dan kebebasan ini bergerak seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat. Kepesatan perkembangan ini menyebabkan makcik-makcik di kampung juga sudah bisa memberikan kritikan terhadap jirannya melalui ruang laman sosial. Semua orang kini sudah mampu mengkritik idea dan tindakan orang lain. Namun, apakah sebenarnya budaya kritik dan kritis yang kita ingin semai dalam masyarakat kita?




Dalam suasana intelektual, budaya kritik dan kritis terhadap sesuatu idea adalah normal bahkan ia adalah suatu tuntutan sikap yang amat digalakkan bagi mengembangkan dan memperkemaskan idea itu. Kita biasanya akan menggelar tukang kritik itu sebagai pengkritik dan dalam banyak keadaan pengkritik akan duduk di kerusi lawan. Apa yang dimaksudkan sebagai kerusi lawan ialah pengkritik itu sudah sinonim dikenali sebagai orang yang berada di dalam platform yang berbeza dengan penyumbang idea dan disifatkan memiliki kepentingan tertentu. Namun itu bukanlah definisi secara mutlak untuk pengkritik, ramai juga pengkritik yang bersikap neutral semasa mengkritik dan berada dalam platform yang sama.

Dalam membangunkan sebuah idea, peranan pengkritik amat penting dimana perbezaan sudut pandang terhadap idea itu akan memberikan lebih banyak perbincangan. Seterusnya ia akan memberikan nilai tambah dan percambahan idea-idea baharu dan segar. Namun budaya kritik dan kritis berhadapan dengan beberapa situasi yang mana memerlukan penyusunan dan pembetulan. Perkara utama ialah, apabila ada satu kumpulan atau individu dikritik kerana idea dan tindakannya, ini tidak bermakna si pengkritik itu secara pasti berniat untuk menjatuhkan kelompok itu walaupun dia bertindak atas kapasiti mewakili kelompok lawan. Jika benar pun hal itu berlaku, kumpulan yang dikritik hendaklah bersifat terbuka dan membalas kritikan itu dengan hujah-hujah yang berdasarkan fakta, rasional dan berakhlak. Kita tidak sewajarnya mengambil jalan mudah dengan menuduh pengkritik itu sebagai pencacai, barua, wahabi, atau ahlul bidaah kerana mungkin disebabkan dia penganut fahaman yang berbeza ataupun mewakili kumpulan lawan. Tindakan seperti ini tidak lebih daripada mencipta sebuah alasan untuk tidak menjawab kritikan orang lain dengan hanya memberikan label-label tertentu dengan harapan ia akan mematikan semua kritikan terhadap kumpulannya. 

Sebelum mengkritik, kita perlu faham tentang apa yang ingin dikritik. Dewasa ini di Malaysia, semua orang ingin bercakap dan memberikan pendapat, langsung mengkritik dalam masa yang sama. Seperti yang ditegaskan di awal rencana, budaya kritik dan kritis amat baik untuk perkembangan sesebuah masyarakat. Namun budaya ini perlu hadir dengan sikap yang bertanggungjawab. Untuk menjadi seorang pengkritik bukan hanya sekadar memerlukan sebuah akaun ‘facebook’ atau ‘twitter’, tetapi lebih daripada itu kita memerlukan ilmu dan kefahaman yang baik terhadap sesuatu isu atau idea yang ingin di kritik. Ini tidak bermakna kita perlu menjadi ahli di dalam bidang yang ingin dikritik, tetapi untuk orang awam cukup sekadar berilmu dan memahami sesuatu isu atau idea secara baik dan umum. Ini bagi mengelakkan daripada pengkritik bercakap secara merapu, memfitnah dan akan hanya menjatuhkan imejnya sahaja. Kita harus meraikan hak setiap orang untuk mengkritik, namun untuk membataskan kritikan untuk hanya patut datang daripada yang ahli (baca: mendapat pendidikan formal) adalah satu tindakan yang bersifat diktaktor dalam disiplin ilmu. Setiap orang mempunyai hak, yang penting dia faham, berilmu dan berakhlak. Hatta Makcik di kampung juga layak untuk mengkritik Perdana Menteri jika dia memenuhi syarat-syarat ini!

Kesilapan besar sebahagian pengkritik ialah, apabila mereka mengkritik, mereka sangka akan suci daripada sebarang kritikan balas. Ada fenomena di mana pengkritik hanya tahu mengkritik, namun apabila ada kritikan balas, pengkritik secara mudah akan menuduh mereka yang dikritik sebagai tidak bersifat terbuka dan tidak mahu menerima kritikan pihak lain. Walhal hakikatnya, pengkritik itu sendiri yang bersifat tidak terbuka untuk menerima kritikan balas. Sepatutnya, pengkritik harus lebih bersedia dan terbuka untuk mempertahankan hujah-hujahnya, tidak pula mengulangi kesilapan orang lain dengan hanya memberikan alasan secara malas dengan bertujuan untuk lari daripada menjawab kritikan balas. Kita tidak boleh berfikir bahawa, orang lain akan menerima bulat-bulat kritikan kita terhadap idea dan tindakan mereka. Ini kerana, mereka pastinya mempunyai alasan dan hujah sebelum melontarkan idea atau mengambil tindakan tertentu. Setiap tindakan ini umpama roda yang berpusing dan kitarannya akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Apa yang penting, jika kita mampu bersikap kritik dan kritis terhadap ‘musuh’ dan orang lain, kita harus juga bersikap adil dengan melakukan hal yang sama terhadap diri sendiri dan dengan mereka yang kita puja dan sanjungi. Jangan pula hanya kerana hubungan dan keakraban tertentu, pandangan kita yang bersifat kritis itu kita diamkan. Bersikaplah adil dalam mengkritik, bukankah adil itu lebih dekat dengan takwa?

Saturday, August 4, 2012

Khatam Quran 6 000 kali dalam sebulan?

Baru-baru ini penulis terbaca status 'facebook' seorang Ustaz yang menyatakan sesuatu tentang seorang tokoh yang digelarkannya sebagai wali Allah. Status 'facebook'nya seperti dibawah:


Idea yang cuba diterapkan oleh Ustaz ini sungguh mustahil dan ajaib. Penulis telah membuat pengiraan sendiri tentang jumlah waktu untuk seorang yang normal khatam al-Quran dan mengambil masa bacaan qari Sheikh Masyari Rashid al-Afaasi sebagai rujukan. Beliau mengambil masa 29 jam 40 minit dan 18 saat untuk khatam Quran dari Surah al-Fatihah sehinggalah ke Surah an-Naas tanpa henti.

Dalam sebulan, kita mempunyai 29 hari iaitu bersamaan dengan 696 jam sahaja. Mengikut perkiraan, jumlah maksimum dalam sebulan yang kita sempat khatam Quran hanyalah sebanyak 23 kali sahaja tanpa makan, tidur dan membuang hadas. Untuk seorang manusia khatam Quran sebanyak 6 000 kali dalam sebulan adalah mustahil walaupun kita menggelarkan tokoh itu sebagai wali Allah.

Kita mungkin telah berlebihan dalam mengangkat satu-satu tokoh agama sehingga kadang kala ia hanya menimbulkan salah faham orang lain terhadap agama. Jadilah manusia yang rasional. Agama bukan rekaan manusia untuk kita tokok tambah sesedap rasa!

Edisi Tambahan (7/8/2012):

Ada kritikan dari kalangan pembaca laman web al-ahkam.net apabila artikel ini disiarkan dengan membawakan kisah kononnya al-Imam as-Syafie telah khatam Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan (rujuk link ini). Ini menunjukkan ia sesuatu yang tidak mustahil.

Namun penulis tertarik dengan jawapan al-fadhil Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie dalam isu ini.



 Sekian, moga Allah merahmati kita.

Wawasan 2050

Jika Tun Dr Mahathir terkenal dengan idea luar biasanya iaitu Wawasan 2020 di mana ia menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya sendiri, maka tidak salah jika penulis mengambil gagasan idea itu tetapi menjadikan sasarannya lebih ke hadapan dan penulis namakan ia sebagai Wawasan 2050. Intipati dan huraiannya menyusul bersama rantaian coretan ringkas ini.  


Ahli politikus di Malaysia kini menjadikan isu negara Islam dan Hudud sebagai perbincangan yang hangat. Masing-masing mahu dilihat sebagai ke hadapan di dalam membawakan isu ini agar kelihatan parti itu menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam di mata rakyat Malaysia. Malangnya, isu ini sudah terlebih dipolitikkan. Niat asal untuk memenuhi syariat agama telah menjadi barang dagangan politik. Untuk menyusun semula agenda asal iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang patuh syariah, kita harus menetapkan sasaran dan tanda aras bagaimana untuk mencapai sasaran itu. Negara patuh syariah ini (menurut pandangan penulis) merujuk kepada satu sistem pemerintahan dan kenegaraan yang menjadikan nilai-nilai Islami sebagai asas kepada pembentukkan dasar negara. Kebanyakkan kita sudah terbiasa mendengar istilah negara Islam, hatta Malaysia seringkali digelar sebagai negara Islam yang progresif dan maju oleh negara luar. Namun apakah istilah negara Islam itu hanya merujuk kepada jumlah majoriti penduduk? Atau istilah ini merujuk kepada sebahagian dasar-dasar pemerintahan yang mesra kepada agama Islam? Istilah ini telah mengundang banyak persoalan dan perdebatan kerana setiap huraian ulama’ ada banyak yang berbeda dan kadang kala mirip menjustifikasikan sesuatu amalan parti agar kelihatan selari dengan negara Islam menurut pandangan mereka.    

Negara Patuh Syariah (NPS) seharusnya menekankan kepada prinsip keadilan senagai keutamaan dan ‘workframe’ pemerintahan pula tidak semesti terikat dengan sistem lama tetapi perlu diselarikan dengan realiti politik hari ini. Secara mudahnya, kita harus bergerak dan beroperasi menggunakan sistem demokrasi yang sedia ada dengan memaksimumkan sebanyak mungkin ruang yang ada untuk menuju ke arah NPS tanpa mengenepikan prinsip dan nilai-nilai Islami. Prof Tariq Ramadhan mengaitkan hal ini dengan istilah ‘Post- Islamism’ dan menjadikan negara Turki sebagai contoh. Hal yang sama sedang berlaku di negara pasca-revolusi Mesir dengan dikepalai oleh tokoh Ikhwanul Muslimin, Dr Mursi. Sebahagian gerakkan Islam ada yang secara mutlak telah mengharamkan demokrasi dan mahu memperjuangkan sistem khilafah (baca: kesatuan pemerintahan dunia Islam). Idea ini tidak salah, namun untuk berjuang mencapai sesuatu tetapi tidak berada dan tidak mahu untuk berada di dalam sistem adalah sesuatu yang sukar dan mustahil. Kita harus menjadi umat yang rasional dan realistik dalam hal ini. Prinsip keadilan adalah bersifat universal dan ia juga menjadi teras utama kepada NPS. Keadilan yang penulis maksudkan merangkumi banyak hal seperti perundangan, sosial, kebebasan bersuara dan ekonomi. Di Malaysia, perundangan kita mempunyai dua darjat nilaian dalam menghukum. Ada sesetengah golongan yang mendapat tempat dan undang-undang khas apabila terdapat kesalahan mereka yang memerlukan untuk dibicara. Ada juga kes-kes ajaib dimana hukuman untuk pencuri barang makanan kurang lebih duit poket dijatuhkan hukuman penjara yang lebih lama berbanding dengan pencuri amanah rakyat. Ini merupakan salah satu contoh ketidak adilan sistem perundangan di negara ini. 

Keadilan sosial pula menekankan hak masyarakat untuk menikmati keadilan dalam bentuk yang universal tanpa mengambil kira soal bangsa, jantina dan agama. Misalannya, bantuan dan sokongan tidak perlu mengikut keutamaan soal bangsa, tetapi kelayakkannya ditentukan melalui indikasi-indikasi tertentu dan yang disepakati kemaslahatannya. Kebebasan bersuara merupakan salah satu elemen terpenting di dalam sistem demokrasi. Ini kerana demokrasi akan mati jika kebebasan ini dinafikan. Menurut penulis, kita berhadapan dengan dua situasi di mana hak kebebasan bersuara dinafikan dan ada pula kebebasan bersuara yang telah menghilangkan hak-hak yang lain. Umum sedia maklum tentang hak-hak bersuara yang telah dinafikan, tetapi kita memerlukan juga sikap yang adil dalam menikmati kebebasan bersuara setelah diberikan secara mutlak nanti. Dalam sesetengah keadaan, berlaku insiden ketidak adilan dalam menyuarakan pendapat kerana ia menyentuh keaiban manusia lain dan moral kepada masyarakat dan agama. Kebebasan mesti hadir dengan keadilan dan tanggungjawab supaya kita menikamatinya dengan penuh rasa harmoni. Perkara fundamental yang terpenting dalam dunia kapitalis dan telah membawa kepada banyak implikasi yang lain ialah keadilan dalam pengagihan kekayaan ekonomi. Banyak masalah sosial dan jenayah wujud akibat dari pengagihan kekayaan ekonomi yang korup dan tidak berdaya saing. Ia juga menjadi tanda pengukur kepada kejayaan mana-mana dasar termasuklah juga NPS.  

Mungkin ada yang bertanya, mengapa teras-teras yang dinukilkan oleh penulis kelihatan seperti tidak menampakkan ciri-ciri NPS menjelang 2050? Mengapa tidak kedengaran istilah-istilah yang berbunyi islami seperti penambahbaikan infrastruktur Islam (baca: pembinaan masjid-masjid baru, penambahan universiti-universiti bernama Islam, dan pembesaran pejabat pungutan zakat)? Saban tahun pengurusan agama di Malaysia terlalu memfokuskan terhadap pembangunan visual sahaja dan kadang kala teras-teras yang penulis nyatakan seperti ingin disekularkan dengan cuba memisahkannya dengan unsur agama. Kita tidak perlu meletakkan nama islamik dalam setiap usaha yang kita lakukan, tetapi penekanan terhadap ruh Islam itu penting agar keadilan menjadi teras dalam setiap usaha-usaha yang akan kita lakukan. Selain dari empat teras yang dinyatakan dalam coretan ringkas ini, terdapat banyak lagi teras yang perlu disenaraikan dan boleh dipanjang oleh banyak pemikir-pemikir Islam yang lain. Matlamat utama kita meletakkan teras-teras seperti ini agar ia menjadi indikasi dan tanda aras terhadap usaha-usaha yang akan dilakukan dalam mengejar Wawasan 2050 di mana Malaysia akan mencapai status Negara Patuh Syariah. Jika telah sampai pada tahun 2050 tetapi kita masih lagi gagal melaksanakan Wawasan 2050 secara sempurna, sekurang-kurangnya gerak kerja kita telah menjadi lebih tersusun dan matlamat menjadi lebih jelas. Tiada lagi istilah negara Islam menjadi barang mainan parti politik dan kita berharap agar NPS akan menjadi impian semua umat Islam di Malaysia. 

Hudud? Maaf, ia hanya menjadi senarai terakhir penulis. Ini bukan bermaksud ia tidak penting, tetapi kita sering kali tersilap dalam meletakkan keutamaan dalam senarai yang penting itu. Islam adalah agama penyelesaian, bukan pula agama hukuman!

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin